“Usaha ke arah itu (perkahwinan) ada, saya pernah bawa si dia jumpa mommy suatu masa dulu. Terkini pun ada juga, tapi terkini yang saya maksudkan tahun lalu,”
Demikian kata penyanyi, pelakon dan usahawan, Daiyan Trisha sambil ketawa menceritakan perjuangan kisah percintaan di hadapan ibunya, Dr Samsiah Mohd Nor. Walaupun impian untuk melangkah ke fasa serius itu kandas di tengah jalan, Daiyan atau Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, 32, mengakui tidak pernah berasa tertekan setiap kali memikirkan tentang jodoh.
Malah, ibu dan bapanya tidak pernah memberi tekanan agar penyanyi Penat itu cepat mengakhiri zaman solo. Mengenali isi hati anaknya itu, Samsiah berkata Daiyan seorang wanita berdikari yang mementingkan kerjaya.
“Saya kata dekat Daiyan, kamu sudah ada kerjaya dan tahu jaga diri. Orang dahulu, tiada kesempatan sambung pelajaran jadi mak ayah yang makin tua mahu lepaskan anak kepada orang mahu dipercayai.
“Tapi zaman kini perempuan makin bijak, hebat dan ada kerjaya. Jadi orang tua tidak risau sangat. Sebab itu saya dan papa Daiyan tidak pernah beri tekanan langsung.
“Kalau belum ada, maknanya itulah yang terbaik. Kalau tiba masa berkahwin, maknanya sudah masanya. Tapi bukan bermakna semuanya terhenti hanya sudah kahwin. Saya terbuka dan terima bila jodoh Daiyan kerana yakin pada Allah. Buat apa pening-pening,” kata Samsiah.
Bagi Daiyan pula, dia tidak pernah meletakkan harta sebagai kayu ukur dalam memilih bakal suami seperti yang diperkatakan banyak orang. Jika hatinya terpaut, maka dia akan teruskan perhubungan kerana dia seorang yang mudah didekati.
Namun memasuki usia 30-an, penerima trofi Ultimate Award di Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025) itu mengakui lebih selektif untuk memilih mana-mana individu yang layak dipanggil kawan.
“Saya fikir kita boleh tahu sekiranya ada individu yang mempunyai perasaan tidak baik kepada kita, kita akan rasa tidak seronok. Saya orang yang sangat pentingkan intuisi. “Tindakan saya sekat beberapa individu di media sosial juga cara saya untuk jauh daripada rasa kurang senang itu.
“Saya percaya kawan-kawan akan mempengaruhi minda dan emosi. Jadi perkara ini membantu saya untuk tidak fikir tentang orang-orang itu. Sebab kalau orang itu penuh tenaga negatif, dia akan tarik tenaga positif kita,” katanya.

Anom Suraya sebuah keajaiban
Siapa sangka Daiyan Trisha ini berkongsi set penggambaran berlakon bersama ibunya sendiri menerusi drama Anom Suraya. Gementar pertama kali bergandingan bersama ibu tercinta, Daiyan bagaimanapun tidak menyangka novel popular tulisan ibunya yang pernah menjadi fenomena pada 1992 kini dilakonkan oleh dirinya.
“Sebelum ini kalau bekerja memang saya tidak libatkan keluarga. Saya seorang profesional. Kalau pergi luar negara untuk kerja sekalipun, pengurus yang akan ikut. Cuma kalau sambutan hari ibu, adalah mommy berjumpa dengan pasukan saya.
“Tapi bila dia ada di set berlakon sekali, saya gementar lain macam seolah-olah lapisan diri kena buka. Pelakon lain mungkin ada yang okey bekerja dengan keluarga sendiri, saya sangat gemuruh.
“Berlakon dengan ibu sendiri lebih gementar berbanding kena berlakon depan 1,000 orang. Begitulah ibaratnya.
“Sebab keluarga ini dekat dalam hati, nak pisahkan perkara itu menjadi sekadar lakonan itu agak sukar apalagi dalam satu adegan yang penuh emosi. Itu salah satu cabaran. Selain itu, yang lain tiada masalah,” kata Daiyan.
Drama Anom Suraya yang mengisahkan perjalanan seorang gadis desa bekerja sebagai penjaga arahan Osman Ali ini turut dibintangi Idris Khan, Yusuf Bahrin, Fazlina Dato’ Ahmad Daud, Halim Radzi, Puteri Khareeza dan Iman Suhana. -UTUSAN










