Butterfingers, bawa peminat kembali masa lalu - Utusan Malaysia

Butterfingers, bawa peminat kembali masa lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEJAM celik usia Butterfingers sudah mencecah 33. Perjalanan yang sarat turun naik, tawa duka dan warna. Selepas lebih tiga dekad, Butterfingers kekal bertapak sebagai band metal yang bermula secara perlahan-lahan meniti jambatan ke arus perdana.

Kini, empat anggotanya, Emmett Roslan Ishak, Khairil Loque Ridzwan Anuar, Mohd. Fakharudin Mohd. Bahar (Kadak) dan Noor Hafizal Rashid (Loko) buat kesekian kalinya bergabung untuk persembahan dua malam bagi meraikan 30 tahun penghasilan album sulung mereka, 1.2 miligram.

Butterfingers ini mengembalikan nostalgia bersama peminat yang sejak 1993 menyokong perjalanan muzik mereka.

Menyingkap kenangan, Loque asalnya hanya ingin bermain muzik dan menyebar luas perjuangan mereka kepada audiens yang lebih besar.

“Tiada istilah muzik underground atau mainstream. Yang kami tahu hanya bermain muzik dan mahu ia didengari di semua platform.

“Empat tahun kami siapkan album demo, selepas itu kami dilamar EMI selaku pengedar untuk album pertama kami bertajuk 1.2 milligrams. Ketika itu kami teruja, kerana EMI berani membuat pelaburan itu.

“Apabila album itu dipasarkan, menjadi fenomena dengan jualan 15,000 unit. Ia menerima sambutan memberangsangkan,” kata Loque.

Daripada satu pencapaian, kepada pencapaian lain, Butterfingers ghairah mengejar kejayaan yang dicapai dalam masa singkat. Pencapaian memberangsangkan 1.2 milligrams membuatkan Butterfingers teruja untuk album kedua.

“Kami nak lagi. Mungkin album pertama dihasilkan dengan instrumen yang terhad. Jadi, dengan dana dilaburkan EMI kami guna untuk rekod album kedua.

“Peruntukan itu tidak digunakan untuk bersuka ria atau membeli kereta. Kami laburkan untuk naik taraf kelengkapan muzik yang canggih. Beli gitar dan instrumen lain.

“Semua itu demi menghasilkan album yang lebih baik. Sejak itu pelbagai kejayaan kami cipta menerusi album Butter Worth Pushful (1997), Transcendence (1999), Better Late Than Never (2000) dan banyak lagi,” katanya lagi.

Emmett berterima kasih kepada peminat kerana merekalah Butterfingers kekal sehingga ke hari ini.

“Band ini kekal bukan kerana kami, tapi peminat yang menyokong perjalanan muzik kami. Kami kena hargai mereka yang berada di belakang sejak mula sampai sekarang.Dan mungkin kerana adanya permintaan membuat kami terus melakukan persembahan. Ia menjadi tanggungjawab kami untuk menghiburkan mereka,” katanya.

HIATUS 

Banyak yang berlaku selepas album The Best Yet To Come (2003). Emmett mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran di Kanada, diikuti Loque yang menyambung pelajaran di Berklee College of Music di Boston (2006).

“Tidak berlaku perselisihan faham, cuma berselisih waktu antara saya dan Loque yang ketika itu di Amerika Syarikat.

“Keutamaan kami juga berubah waktu itu. Hiatus memberi ruang dan peluang kepada pemuzik itu untuk membesar. Cinta terhadap Butterfingers itu tetap ada, cuma ketika itu kami perlu waktu bertenang,” kongsinya.

BAND INDEPENDENT

Butterfingers tidak pernah menggelarkan diri mereka sebagai band underground kerana bagi mereka perkara itu membawa maksud yang lebih luas.

“Kami sentiasa menjadi kumpulan independent, bukan underground. Kami risau kalau budak underground terasa kerana dahulu, mereka hadir dengan falsafah tersendiri.

“Contohnya diharamkan makan Mc Donald, kena pakai selipar Jepun, anti konglomerat dan bermacam-macam lagi falsafah tersendiri,” kongsi Emmett.

DUA HARI DI ODEON KL

Tarikh 8 dan 9 Ogos ini bakal menjadi tarikh meraikan 33 tahun penerbitan album pertama, 1.2 milligrams dengan persembahan yang akan dipentaskan di Odeon Kuala Lumpur.

Butterfingers bakal mempersembahan kesemua lagu dari album yang menjadi penanda aras kepada kejayaan band tersebut selama lebih tiga dekad.

“Ia akan menjadi persembahan bertenaga kerana kami bakal mempersembahkan 20 lagu dari album itu dengan susunan yang ditambah baik.

“Persembahan berdurasi 1 jam 30 minit itu bakal menjadi persembahan yang memenatkan. Kami akan perform seperti kebiasaan tanpa mengurangkan tempo lagu tersebut,” kata Loque.

Kata Loque, cabaran paling besar adalah untuk tidak memenuhi permintaan yang bukan-bukan dari netizen.

“Contoh seperti bermain muzik di stadium unifi. Pada awalnya kami merancang untuk mengadakan konsert di stadium Melawati tetapi ia ditutup untuk pengubahsuaian,” ujarnya.

Loque memaklumkan matlamat utama adalah untuk membawa peminat kembali ke masa silam, ketika 1.2 milligrams mula diterbitkan.

“Kami bersyukur kerana peminat mahukan konsert itu dipentaskan tanpa penyanyi undangan. Cukup kami beraksi menghiburkan peminat.

“Kami tahu kebanyakan peminat kami sudah berusia 40 tahun dan ke atas. Rata-rata tidak lagi mempunyai stamina seperti dulu. Tapi masih bersemangat untuk menyaksikan persembahan kami,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN