PUTRAJAYA: Pelakon, Azhan Rani mengakui dirinya tidak tenteram selepas menyedari kucing kesayangannya, Kilau hilang sejak pagi tadi.
Menurut Azhan, dirinya masih lagi dalam usaha mencari haiwan jenis British Long Hair itu, selain turut dibantu oleh adiknya.
“Setakat ini Kilau masih belum ditemui. Kami masih mencarinya dan adik saya juga sedang berusaha mengesannya.
“Sebelum ini dia pernah juga terlepas keluar, tetapi dia akan masuk semula ke dalam rumah. Dia boleh turun sendiri, tetapi untuk naik semula agak sukar kerana tempatnya tinggi.
“Kalau boleh, saya mohon bantuan orang ramai. Terus terang, jiwa saya sekarang memang tertumpu kepada perkara ini. Dari tadi lagi saya asyik memikirkannya. Saya sangat berharap dan berdoa supaya Kilau pulang semula.
“Memang saya sedih sangat. Selepas sesi ini pun saya masih ada penggambaran. Saya sendiri tidak tahu bagaimana hendak memberikan fokus kerana fikiran saya masih memikirkan Kilau,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kata Azhan, dia mula menyedari kucing tersebut hilang sekitar Subuh tadi dan dipercayai keluar menerusi pintu belakang rumah yang terbuka tanpa sengaja.
“Pagi tadi saya sedar dia sudah tiada. Sebenarnya malam tadi, kira-kira pukul 12.30 malam, apabila saya pulang ke rumah, dia masih berada di stor.
“Saya membuka pintu bilik mesin basuh dan pintunya terbuka sedikit. Selalunya dia akan tidur bersama saya. Namun, malam tadi saya terlalu letih, jadi saya biarkan sahaja dia di situ.
“Apabila saya turun ke bawah pada waktu subuh tadi, saya rasa ada sesuatu yang tidak kena kerana dia sudah tiada. Saya tengok pintu sudah terbuka,” jelasnya.
Dalam pada itu, pelakon drama Bulan Henti Bicara tersebut menyifatkan kucing yang telah dibela selama lima tahun itu sangat manja dan rapat dengannya.
“Kilau sebenarnya kucing yang diberikan oleh seseorang kepada saya. Umurnya sekarang kira-kira enam tahun.Saya ada dua ekor kucing. Seekor lagi masih ada di rumah.
“Saya memang sangat sayangkan Kilau. Dia tidur bersama saya setiap malam. Malah, dia juga menjadi ‘alarm’ saya. Setiap hari sekitar pukul 4 pagi, dia akan mengejutkan saya untuk meminta makanan dengan mengganggu muka saya sehingga saya bangun.
“Pagi tadi keadaan itu tidak berlaku. Saya terjaga sendiri dan ketika itu saya terus rasa ada sesuatu yang tidak kena. Masa itulah saya sedar Kilau sudah tiada.
Selain sudah meuar-uarkan berita kehilangan tersebut menerusi Whatsapp komuniti kejiranan, Azhan turut menjanjikan untuk memberi ganjaran semampunya kepada individu yang menemui kucing tersebut.
“Kami juga sudah bertanya kepada penduduk sekitar dan berkongsi maklumat dalam kumpulan komuniti kawasan rumah. Itu antara usaha yang sedang dilakukan. Bagaimanapun, belum pun 24 jam dia hilang, jadi saya masih berharap dia akan pulang sendiri.
“Orang yang memelihara kucing pasti faham perasaan ini. Rasanya seperti kehilangan anak sendiri. Saya ada juga terbaca bahawa kita boleh memberitahu kucing-kucing jalanan supaya membantu mencari.
“Tadi saya cuba memanggil dan memang yang datang semuanya kucing jalanan.Apa yang paling saya risau sekarang ialah anjing liar di luar kawasan rumah,” kongsinya.
Pada Selasa, Azhan menerusi sebuah perkongsian telah memuat naik foto kucingnya yang hilang itu, selain meminta bantuan orang ramai untuk mencarinya.










