ASWARA anjur Festival Teater Antarnusa 2026, himpun penggiat seni lima negara Nusantara - Utusan Malaysia

ASWARA anjur Festival Teater Antarnusa 2026, himpun penggiat seni lima negara Nusantara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) bakal menganjurkan Festival Teater Antarnusa 2026 (FTA 2026) selama empat hari bermula hari ini hingga 19 Julai di Kampus ASWARA, di sini.

Festival anjuran Fakulti Teater ASWARA itu menghimpunkan penggiat seni, tokoh teater dan anak seni dari lima negara serantau menerusi pelbagai program yang mengetengahkan seni persembahan teater kontemporari.

Bertemakan Tanda. Temu. Tamu, festival berkenaan menjadi platform interaksi budaya yang memperkukuh jaringan seni serantau selain membuka ruang apresiasi terhadap perkembangan teater kontemporari.

Majlis perasmian festival dijadual disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot di Dewan Orkestra ASWARA.

Sepanjang penganjurannya, pengunjung berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti bermula pukul 9 pagi hingga 10 malam termasuk bengkel teater, sesi Work in Progress, persembahan monodrama Kedai Cerita Runcit berkonsepkan site-specific serta showcase teater kontemporari yang menampilkan artis dan kumpulan teater dari dalam serta luar negara.

Program bengkel memberi peluang kepada peserta mendalami teknik persembahan bersama seniman serantau, manakala sesi Work in Progress memperlihatkan proses kreatif penghasilan karya baharu.

Sementara itu, Kedai Cerita Runcit menawarkan pengalaman menonton teater dalam suasana bukan konvensional menerusi persembahan monodrama pendek yang turut menjadi ruang dialog seni dan pertukaran idea dalam kalangan komuniti kreatif.

Menurut ASWARA, penganjuran FTA 2026 mencerminkan komitmen institusi itu dalam memperkasa pendidikan seni dan budaya, selain menyokong pembangunan industri kreatif negara yang lebih progresif serta berdaya saing.

Festival itu juga selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan usaha menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 melalui pengukuhan sektor pelancongan budaya.

Semua aktiviti festival adalah percuma kecuali program showcase yang mengenakan tiket berharga RM10. Orang ramai disaran membuat tempahan awal secara dalam talian menerusi platform Cloudjoi berikutan kapasiti tempat yang terhad.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN