Amir Masdi tidak hanya kejar vokal terbaik - Utusan Malaysia

Amir Masdi tidak hanya kejar vokal terbaik

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ada ura-ura yang mengatakan bahawa penyanyi, Amir Masdi bakal merangkul anugerah vokal terbaik bagi Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) yang berlangsung pada Ogos ini. Tetapi, Amir sebenarnya bukan hanya merancang bagaimana vokalnya mahu bagus di bahagian not tinggi, bagaimana pula mahu bagus di not rendah semata-mata, namun dia juga sebenarnya sedang merancang kejutan berbeza untuk lagu Nurcinta.

Mana tidaknya, komitmen kali ini bukan hanya dia menyanyi semata-mata, malah dia juga memikul tanggungjawab besar selaku komposer lagu tersebut. Amir memberitahu bahawa fikirannya kini ligat memikirkan konsep persembahan terbaik demi memukau penonton lebih-lebih lagi para peminat setianya, Amir Masdi United.

“Nurcinta bermaksud cahaya cinta, jadi mungkin ada elemen cahaya atau sesuatu yang kelihatan glamor di atas pentas nanti. Sebelum ini, untuk lagu Sengaja, saya berbelanja lebih dengan meletakkan cermin, mengambil Amelia Henderson sebagai kameo, dan props yang lain.

“Untuk Nurcinta pula, kami ada tiga perancangan sama ada mahu berbelanja besar, bajet sederhana, atau konsep minimalis yang ‘just nice’. Ketiga-tiga konsep ini masih belum dimuktamadkan lagi oleh pihak pengurusan saya,” katanya.

Bagi Amir, persaingan di pentas AJL tidak pernah menjadi satu tugas yang mudah buat mana-mana penyanyi. Kelayakan 10 lagu terbaik dari seluruh Malaysia untuk AJL40 kali ini membuktikan pentas tersebut didominasi oleh nama-nama hebat.

Tekanan yang dihadapi Amir kali ini dilihat berganda kerana dia perlu memastikan kualiti lagu ciptaannya bersama Edry Abdul Halim berada pada tahap tertinggi. Dia mahu peminat melihat satu sisi kelainan terhadap dirinya pada malam itu.

“Bila masuk sebagai komposer tahun ini bersama Edry Abdul Halim, tekanan itu dirasakan berkali-kali ganda lebih tinggi. Saya perlu menjaga kredibiliti lagu tersebut dan dalam masa yang sama memastikan penyampaian malam itu tidak terlalu keterlaluan.

“Bagi saya, setiap edisi AJL ada pasang surutnya sendiri dan saya akui persembahan lalu boleh diperbaiki lagi. Bagaimanapun, saya tidak mahu terus terperangkap atau membandingkan perjalanan tahun ini dengan kegagalan lalu,” ujarnya.

Penukaran jadual AJL40 ke bulan Ogos turut memberi impak tersendiri kepada jadual kerja penyanyi ini. Walaupun pelik pada mulanya, dia melihat perkara tersebut dari sudut pandang yang positif.

“Secara peribadi, saya sebenarnya lebih gemar jika tugasan ini dapat diselesaikan dengan cepat supaya boleh fokus rancangan lain. Apabila tahu AJL kali ini agak lambat iaitu pada bulan Ogos, kami terpaksa merancang dengan lebih lama.

“Namun, ini juga satu peluang yang baik kerana kami mempunyai lebih banyak masa untuk membuat persiapan rapi. Ini sebenarnya memberi ruang kepada kami untuk mencari ilham-ilham baharu,” katanya.

Pengalaman daripada penyertaan lalu banyak mengajar Amir dan seluruh pasukannya untuk menjadi lebih bersedia. Dia tidak mahu persembahannya nanti kelihatan terlalu mencuba atau berlebihan di atas pentas.

Mengenai jangkaan ramai yang meletakkannya sebagai calon kegemaran untuk kategori vokal, Amir enggan membiarkan perkara itu mengganggu fikirannya. Dia sedar harapan yang terlalu tinggi boleh memakan diri sendiri.

“Apabila jangkaan orang sekeliling terlalu tinggi, tekanan itu bertambah kerana jika jatuh, sakitnya akan lebih dirasakan. Oleh itu, saya letakkan harapan yang sama seperti tahun-tahun sebelum ini iaitu buat sehabis baik.

“Paling penting adalah meninggalkan persembahan yang akan diingati sampai bila-bila oleh semua penonton. Yang paling penting usaha keras sudah dilakukan,” katanya menutup bicara.

AJL40 pastinya menjanjikan saingan sengit daripada kesemua finalis yang merebut gelaran juara. Tiada jalan mudah untuk mana-mana peserta membawa pulang trofi berprestij itu.

Peminat pastinya tidak sabar untuk melihat bagaimana Amir menterjemahkan maksud Nurcinta mengikut acuan tersendiri. Sama-sama kita nantikan malam kemuncak penuh debaran itu tidak lama lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN