Ajak tolak wujud unsur sabotaj,anggap isu pekerja cabaran biasa peniaga - Utusan Malaysia

Ajak tolak wujud unsur sabotaj,anggap isu pekerja cabaran biasa peniaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelawak dan pemilik rangkaian restoran Bumbu Babah, Ajak, menolak andaian bahawa insiden membabitkan pekerja yang meminta pelanggan membuat pembayaran ke akaun peribadi berpunca daripada unsur sabotaj.

Pada masa yang sama, Ajak juga menepis  dakwaan kononnya ada pihak cuba mengambil kesempatan terhadap statusnya sebagai selebriti dengan sengaja mencipta hal seperti itu.

Bagi Ajak,, isu berkenaan bukan hanya berlaku di restorannya, malah turut dihadapi ramai peniaga lain dan percaya ia adalah cabaran biasa dalam menguruskan perniagaan.

“Tidaklah, sebab saya ada tanya pada ramai peniaga-peniaga. Sebenarnya semua hadap benda yang sama, bukan Bumbu Babah sahaja. Cuma ada pelaku yang dapat ditangkap, ada yang tak dapat tangkap.

“Ada yang kadang-kadang dah tangkap pun, tapi disebabkan dia dah kahwin, ada anak, tak sampai hati. Saya boleh sahaja nak teruskan tindakan undang-undang, tetapi saya pilih untuk berhenti setakat beri nasihat dan tamatkan perkhidmatan mereka,” katanya.

Ajak berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan kononnya terdapat pihak yang cuba menjatuhkan atau mensabotaj perniagaannya susulan insiden yang tular di media sosial baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ajak berkata, dia kini berjaya mengawal isu berkenaan walaupun sebelum ini ada beberapa cawangan berdepan masalah sama.

“Alhamdulillah, buat masa sekarang kita dah dapat tangani. Cuma sebelum ini ada beberapa cawangan yang mempunyai masalah itu. Tadi pun masa ambil gambar, ada peminat datang beritahu dia makan di salah sebuah cawangan dan diminta membuat bayaran ke akaun peribadi kerana kononnya akaun syarikat rosak.

“Sedikit sebanyak memang saya kecewa. Bayangkan bila kita buka banyak cawangan, kita sebenarnya nak bantu ramai orang dapat pekerjaan. Tetapi kalau ada pekerja yang buat perkara macam ini, dia bukan sahaja mengkhianati amanah, malah merosakkan syarikat.

“Saya harap bukan pekerja di Bumbu Babah sahaja, malah di mana-mana tempat kerja pun, bekerjalah dengan ikhlas. Saya percaya orang yang bekerja dengan ikhlas akan lebih berjaya daripada orang yang mengambil wang yang bukan hak mereka,” katanya.

Sehubungan itu, Ajak mengingatkan pelanggan supaya tidak membuat sebarang pembayaran ke akaun peribadi sekiranya diminta berbuat demikian oleh pekerja.

“Saya harap semua pelanggan selepas ini, kalau datang ke mana-mana cawangan Bumbu Babah dan diminta membuat bayaran ke akaun peribadi, jangan buat pembayaran itu. Kalau perlu, tinggalkan sahaja premis tersebut dan maklumkan kepada pihak kami,” katanya.

Dalam pada itu, Ajak berkata, pihaknya kini mempertimbangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di semua cawangan sebagai langkah meningkatkan pemantauan.

“Sebelum ini saya memang tak nak pasang CCTV sebab saya nak pekerja rasa mereka dipercayai. Sebagai pekerja pun kita tak suka kalau sentiasa diperhatikan.

“Tetapi rupanya apabila kita cuba berbaik, ada juga yang ambil kesempatan. Jadi perkara itu kini dalam pertimbangan dan kami mungkin akan memasang CCTV,” katanya.

Menurut Ajak, ketika ini Bumbu Babah mempunyai lebih 100 kakitangan dengan 57 cawangan di seluruh negara, selain menyasarkan pembukaan cawangan ke-60 pada bulan depan.

Mengulas tindakan terhadap pekerja yang terbabit, penyampai radio Suria FM ini berkata, individu berkenaan hanya ditegur dan ditamatkan perkhidmatan selepas syarikat memperoleh bukti kukuh.

“Pada mulanya bila kami minta dia berhenti, dia ugut nak buat laporan. Tetapi hakikatnya kami ada dua atau tiga orang saksi. Apabila dia tahu kami mempunyai saksi dan bukti transaksi ke akaun peribadinya, akhirnya dia memilih untuk berundur secara baik.

“Kita takkan tuduh seseorang kalau kita tak ada bukti. Tetapi saya nak tegaskan, kes seperti ini membabitkan segelintir sahaja.

“Ramai lagi pekerja saya yang jujur, baik dan bersopan santun. Jadi tidak adil untuk melabel semua pekerja kedai makan sebagai tidak amanah kerana saya percaya masih ramai yang menjalankan tugas dengan penuh integriti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN