Ai adalah tema utama tapi Ai itu yang bunuh estetika seni - Arja Lee - Utusan Malaysia

Ai adalah tema utama tapi Ai itu yang bunuh estetika seni – Arja Lee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Berpengalaman empat tahun bersama Citrawarna di bawah Pak Ngah Production, pelakon, Arja Lee menyifatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) sebagai tema utama acara itu membunuh nilai seni itu sendiri.

Arja atau Azharudin Ramli, 43, berharap penganjuran kali ini mengekalkan elemen tradisional di samping sentuhan moden.

Arja yang pernah terlibat di bawah penganjuran terdahulu menganggap konsep baharu itu tidak bersesuaian dengan identiti persembahan berkenaan.

“Empat tahun bersama Citrawarna ketika zaman Swatari di bawah Pak Ngah Production. Berharap mahu tengok C2026 membawa elemen-elemen dulu diterapkan bersama elemen-elemen terkini namun ternyata sedikit hampa bila AI adalah tema utama.

“Ternyata ia membunuh estetika seni itu. Banyak lagi yang mahu saya kupas. Tetapi, tidak mengapalah,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.

Dalam pada itu, Arja menegaskan bahawa acara berkenaan sepatutnya dikendalikan oleh penganjur yang tepat.

“Sepatutnya penganjur acara, pengarah persembahan dan insan seni yang tepat perlu diletakkan sebagai ketua untuk acara segemilang ini. Sekadar pendapat peribadi saya,” katanya.

Sejak diperkenalkan pada 1999, Citrawarna menjadi antara produk pelancongan budaya utama negara yang memainkan peranan penting dalam mempromosikan seni, budaya, warisan serta keindahan alam semula jadi Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Namun begitu, mengangkat tema AI telah mencetuskan pelbagai reaksi termasuklah Arja Lee sendiri yang menganggap tindakan itu menenggelamkan keaslian seni tradisi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN