‘Agent Kim’ hadiahkan 300 jongkong emas kepada pelakon, kru - Utusan Malaysia

‘Agent Kim’ hadiahkan 300 jongkong emas kepada pelakon, kru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Pelakon terkenal Korea Selatan, So Ji Sub, sekali lagi mencuri perhatian apabila menghadiahkan jongkong emas tulen kepada kira-kira 300 pelakon dan kru produksi drama Agent Kim Reactivated sebagai tanda penghargaan atas komitmen mereka menjayakan naskhah berkenaan.

Tindakan pelakon berusia 48 tahun itu mendapat pujian ramai selepas gambar hadiah yang disediakan untuk barisan pelakon dan kru tular di pelbagai platform media sosial serta komuniti dalam talian pada 26 Julai lalu.

Setiap penerima menerima jongkong emas seberat 1 gram yang diletakkan di dalam kotak khas bersama sekeping kad ucapan tulisan tangan daripada So Ji Sub.

Menerusi mesej itu, So Ji Sub meluahkan rasa syukur dan terharu sepanjang menjalani penggambaran drama tersebut.

“Saya berasa sangat terharu dan gembira sepanjang menjayakan projek ini. Terima kasih kepada semua yang telah bekerja keras dan menyinari ‘Agent Kim Reactivated’ dari posisi masing-masing,” katanya.

Syarikat pengurusannya bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah keseluruhan kos hadiah berkenaan.

Namun, berdasarkan kira-kira 300 jongkong emas yang disediakan, nilainya dianggarkan mencecah 100 juta won.

Ini bukan kali pertama So Ji Sub menghadiahkan emas kepada rakan sekerjanya.

Selepas menamatkan penggambaran siri Mercy for None tahun lalu, pelakon ini turut menghadiahkan jongkong emas kepada para aktor, pengurus serta kru produksi sebagai tanda penghargaan.

Menurut So Ji Sub, amalan memberikan hadiah selepas selesai sesuatu projek sudah menjadi tradisinya sejak mula memegang watak utama.

Katanya, hadiah itu adalah simbol kesyukuran kerana seluruh pasukan berjaya menamatkan penggambaran dengan selamat.

“Saya berada di sini kerana mereka. Dahulu saya pernah memberikan hadiah lain, tetapi ada yang menyangka ia ditaja.

“Emas tidak boleh ditaja, jadi saya memilihnya dengan penuh keikhlasan. Jika suatu hari nanti mereka berdepan kesukaran, sekurang-kurangnya emas itu boleh dijual dan membantu mereka,” ujarnya.

Keperibadian So Ji Sub yang prihatin bukan hanya terserlah di lokasi penggambaran. Tahun lalu, dia turut mengundang sebak menerusi program YouTube Jjanhanhyeong apabila menitiskan air mata ketika menyampaikan kata-kata semangat kepada kakak ipar seorang kenalan rapat yang sedang menjalani rawatan akibat penyakit serius.

Sepanjang lebih dua dekad bergiat dalam industri hiburan, So Ji Sub dikenali sebagai artis yang merendah diri dan sentiasa menghargai sumbangan kru di belakang tabir.

Dia percaya kejayaan sesebuah drama bukan hanya bergantung kepada pelakon utama, sebaliknya hasil kerjasama ratusan individu termasuk pengarah, jurukamera, jurusolek, pereka kostum dan pasukan teknikal.

Hadiah itu disampaikan sejurus selepas Agent Kim Reactivated melabuhkan tirainya. Drama tersebut muncul antara karya paling berjaya tahun ini apabila berjaya melepasi 20 peratus kadar tontonan selepas hanya empat episod, mencatat kemuncak 23.1 peratus sebelum menutup siaran dengan 23 peratus pada episod akhir.

Mengulas kejayaan drama berkenaan, So Ji Sub berkata, pencapaian itu adalah hasil dedikasi seluruh pasukan produksi serta sokongan penonton.

“Drama ini dapat disiapkan hasil semangat dan usaha ramai pihak. Saya amat berterima kasih kepada semua kru yang bekerja keras di belakang tabir, para pelakon yang memberikan kerjasama terbaik, dan paling utama kepada penonton yang terus bersama kami sehingga episod terakhir,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN