50 peratus tiket Wali Live In JB terjual dalam tempoh dua jam - Utusan Malaysia

50 peratus tiket Wali Live In JB terjual dalam tempoh dua jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Fenomena Wali Band dalam kalangan peminat tempatan terus terbukti apabila 50 peratus tiket konsert Wali Live In JB terjual dalam tempoh hanya dua jam selepas jualan dibuka semalam.

Sambutan luar biasa itu diterima ketika kumpulan popular Indonesia berkenaan meneruskan siri persembahan mereka di Malaysia selepas bertemu peminat di Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur.

Siri tersebut bakal dilengkapkan menerusi konsert Wali Live In JB yang dijadual berlangsung di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor Bahru, pada 3 Oktober depan, bermula pukul 8 malam.

Konsert anjuran Nusantara Live Entertainment dan Infinity Love Creative Ventures itu bukan sekadar menandakan kepulangan Wali Band ke Malaysia, malah menjadi simbol penghargaan kumpulan berkenaan terhadap sokongan berterusan peminat tempatan sejak lebih dua dekad lalu.

Dengan sambutan yang sentiasa menggalakkan setiap kali mereka mengadakan persembahan di negara ini, Wali Live In JB disifatkan sebagai sebuah lagi detik bermakna dalam perjalanan muzik kumpulan itu bersama peminat Malaysia.

Lebih 25 tahun berkarya, Wali Band yang dianggotai Faank selaku vokalis, Apoy (gitar dan komposer), Tomi (dram) serta Ovie (keyboard) terus membuktikan kedudukan mereka sebagai antara kumpulan muzik berpengaruh di Nusantara.

Lagu-lagu popular seperti Cari Jodoh, Baik-Baik Sayang, Yank, Doaku Untukmu Sayang, Aku Bukan Bang Toyib dan Nenekku Pahlawanku bukan sahaja mencatat jutaan pendengar di platform digital, malah kekal menjadi pilihan peminat setiap kali dipersembahkan secara langsung.

Keistimewaan Wali Band terletak pada kemampuan menghasilkan karya yang dekat dengan kehidupan masyarakat menerusi lirik sederhana tetapi sarat makna, selain melodi yang mudah diingati.

Formula berkenaan menjadikan karya mereka terus relevan merentas generasi sehingga setiap persembahan kumpulan yang berasal dari Tangerang, Indonesia itu sering bertukar menjadi lautan suara apabila ribuan peminat menyanyikan lagu bersama-sama.

Menurut Faank, siri persembahan mereka di Malaysia kali ini memberikan pengalaman cukup bermakna sehingga dirasakan seperti sebuah jelajah khas untuk peminat di negara ini.

“Alhamdulillah, setiap kali kami datang ke Malaysia, sambutannya sentiasa luar biasa. Kali ini terasa lebih istimewa kerana kami seperti sedang mengadakan jelajah di Malaysia.

“Sebelum ini kami berpeluang bertemu peminat di Kota Kinabalu, kemudian Kuala Lumpur dan kini kami akan mengakhiri perjalanan ini bersama peminat di Johor Bahru,” katanya.

Menurut Faank, setiap lokasi memberikan pengalaman berbeza, namun kasih sayang yang diterima daripada peminat Malaysia tidak pernah berubah.

“Apa yang membuatkan kami sentiasa rindu untuk kembali adalah semangat peminat di Malaysia. Mereka bukan sekadar datang menonton, tetapi menyanyi bersama kami dari lagu pertama hingga lagu terakhir.

“Itulah momen yang paling kami hargai sebagai pemuzik,” katanya.

Tambah Faank, Wali Band mahu menjadikan konsert di Johor Bahru sebagai sebuah malam yang bukan sahaja sarat dengan nostalgia, malah mampu membawa kegembiraan kepada semua yang hadir.

“Kami sedang menyiapkan sebuah persembahan istimewa untuk Johor Bahru. Sudah tentu lagu-lagu yang paling dirindui peminat akan kami bawakan dan mungkin juga ada beberapa kejutan yang kami simpan khas untuk malam itu.

“Kami berharap semua dapat hadir dan bersama-sama mencipta kenangan indah bersama Wali Band,” jelasnya.

Sementara itu, wakil penganjur Nusantara Live Entertainment, Nur Liyana Abdul Rahman dan wakil Infinity Love Creative Ventures, Shasha Samsudin berkata, pemilihan Johor Bahru sebagai destinasi Wali Live In JB dibuat berdasarkan beberapa faktor strategik.

Antaranya termasuk kedudukan bandar raya itu sebagai hab utama di selatan tanah air yang berpotensi menghimpunkan komuniti peminat dari tiga negara serantau.

“Johor Bahru merupakan lokasi yang sangat strategik kerana berada di pintu masuk selatan Semenanjung Malaysia, bersempadan dengan Singapura dan berhampiran Batam, Indonesia.

“Kedudukan ini membolehkan peminat dari Malaysia, Singapura dan Indonesia berkumpul di satu lokasi untuk menikmati sebuah konsert bertaraf antarabangsa,” katanya.

Menurut Shasha, pemilihan EduCity Sports Complex pula diyakini mampu menampung kehadiran ribuan peminat dari dalam dan luar negara selain menawarkan pengalaman menonton yang lebih selesa.

“Kami melihat konsert ini bukan sekadar sebuah acara hiburan, tetapi platform yang menyatukan peminat muzik Nusantara.

“Johor Bahru mempunyai akses mudah melalui jaringan lebuh raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Tambak Johor, Laluan Kedua Malaysia-Singapura dan perkhidmatan feri ke Batam.

“Kami percaya lokasi ini akan memudahkan peminat dari tiga negara untuk hadir bersama-sama,” katanya.

Penganjur turut yakin penganjuran konsert berkenaan mampu memberikan impak positif kepada sektor pelancongan dan ekonomi setempat menerusi kehadiran pengunjung dari luar Johor serta luar negara.

Dengan produksi pentas yang lebih segar, sistem audio bertaraf antarabangsa serta pilihan lagu yang menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup jutaan peminat, Wali Live In JB dijangka menjadi antara konsert Nusantara paling dinanti-nantikan tahun ini.

Tiket ditawarkan mengikut beberapa kategori iaitu RM88, RM128 bagi Cari Jodoh (GA), RM128 bagi Emang Dasar (CAT 2), RM168 bagi Nenekku Pahlawan (CAT 1), RM388 bagi Tomat (VIP) dan RM1,188 bagi Yank (Super VIP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN