Penyanyi dan komposer berbakat besar, Zynakal, kembali mencuri perhatian industri muzik tanah air dengan pelancaran single terbaharunya yang sarat dengan emosi berjudul ‘NIAT’.
Karya terbaharu itu membawa pendengar menyelami konflik dalaman seseorang mengenai persoalan keikhlasan, trauma masa lalu serta ketakutan untuk membuka pintu hati demi sebuah hubungan cinta yang baharu.
Terkenal dengan identiti tersendiri dalam dunia hip hop dan pop urban, Zynakal kali ini mempertaruhkan bait lirik yang sangat dekat dengan realiti dan dilema kehidupan generasi muda hari ini.
“Melalui lirik seperti ‘apa niat dalam hati, benarkah aku kau cari, atau cuma mahu isi kekosongan dalam hati’, ia jelas menggambarkan perasaan takut untuk terlalu rapat akibat pengalaman lalu,” katanya.
Sebelum bergelar penyanyi, figura ini terlebih dahulu mencipta nama di sebalik tabir sebagai komposer dan penerbit untuk lagu-lagu hit seperti ‘Sabar’ nyanyian Ismail Izzani dan ‘Selamat Tinggal Sayang’ oleh Haqiem Rusli.
Nama beliau kemudiannya terus melonjak sebagai antara artis muda paling berpengaruh selepas fenomena lagu ‘Sakit’ bersama Yonnyboii gegar industri dan menduduki carta tertinggi penstriman selama 8 minggu berturut-turut.

Hadir dengan susunan muzik yang minimal tetapi mendalam hasil terbitan Wongie7, ‘NIAT’ kini sudah boleh mula distrim di semua platform digital utama.
Selain perkembangan muzik bersama Sony Music Entertainment, Zynakal kini turut mengembangkan jenama kreatifnya, Soul Booster, yang bermula dengan penjualan produk cenderamata rasmi sebelum diperluaskan ke industri fesyen tempatan.










