PETALING JAYA: Kumpulan nasyid, UNIC, mengakui trauma selepas berdepan dengan isu bayaran tertunggak baru-baru ini dan mengakui lebih berhati-hati serta mengetatkan syarat pendokumentasian bagi mengelakkan kejadian berulang berlaku.
Wakil UNIC, Bazli Hazwan atau Bazli Hazwan Che Osman, 42, berkata, pengalaman ditipu memberi pengajaran buat mereka untuk tidak mudah mempercayai janji manis pihak luar.
“Sebenarnya isu penipuan ini sudah banyak kali berlaku dalam industri, bukan sahaja kepada UNIC tetapi rakan artis lain juga. Ada kes yang terus senyap begitu sahaja.
“Bagi pihak UNIC sendiri, kami sebenarnya berasa trauma dengan apa yang telah terjadi. Bagaimanapun, setiap masalah yang timbul itu adalah satu proses pembelajaran dan pengalaman,” katanya.
Bazli berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui dalam sidang media Konsert Malam Qolbu di Royal Chulan, The Curve Damansara, hari ini.
Dalam pada itu, UNIC kini meletakkan aspek pendokumentasian yang ketat iaitu kontrak bertulis sebagai syarat utama sebelum bersetuju menjayakan sebarang persembahan.
“Pengajaran terbesar yang kami peroleh adalah kepentingan dokumentasi yang lengkap, menandatangani perjanjian dan membuat catatan rasmi. Orang luar tetap orang luar, jadi tidak kira betapa baiknya hubungan itu, dokumentasi bertulis wajib ada.
“Kadang-kadang artis kita ini tidak tahu cara sebenar untuk menguruskan dokumentasi. Oleh itu, sangat penting untuk kita mempunyai pasukan PR (Public Relation) sendiri atau mengupah agensi luar yang lebih berpengalaman untuk berurusan dengan acara besar.
“Kita memang rasa trauma. Tapi, setiap masalah itu adalah pembelajaran dan pengalaman. Sekali kita jumpa orang baru, kita akan dapat ilmu dan ujian baru,” katanya.
Ditanya sama ada UNIC pernah lengah dalam urusan kontrak sebelum ini, Bazli menegaskan mereka sentiasa mengikut prosedur yang ditetapkan, cuma pendekatan kali ini menuntut mereka lebih berwaspada dengan karakter penganjur.
“Sebelum ini, kami memang sudah mengikut prosedur persembahan yang betul, cuma peraturan ketiga sekarang adalah perlu berhati-hati dengan individu yang hanya tahu menabur janji manis. Kita jangan mudah terpedaya dan biarlah janji yang dibuat itu lebih realistik serta tidak terlalu tinggi,” katanya.
Terdahulu, UNIC dilaporkan berdepan isu bayaran tertunggak membabitkan pembabitan mereka dalam sebuah konsert yang berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 20 Disember lalu.
Isu itu menjadi perhatian apabila Fitri menyuarakan kekecewaan sehingga membuat laporan polis susulan kegagalan pihak penganjur melunaskan bayaran penuh seperti yang dipersetujui.
Namun begitu, pembayaran bayaran konsert This Is UNIC yang tertangguh selama lebih empat bulan itu akhirnya selesai sepenuhnya oleh pihak penganjur.










