KUALA LUMPUR: Suami kepada pempengaruh kontroversi, Marissa Dania Hakim, Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid atau Aslam mengakui kini tinggal berasingan dengan isterinya sementara menunggu keputusan mahkamah.
Ketika ditemui media di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur hari ini, Aslam mengesahkan perkara itu secara ringkas.
“Ya, betul. Saya pun tidak tahu lagi sekarang. Kita tunggu keputusan daripada pihak mahkamah,” katanya.
Terdahulu, Aslam, 27, dan Marissa, 21, hadir secara berasingan di mahkamah kira-kira pukul 9.30 pagi bagi prosiding permohonan pengesahan lafaz cerai dan rujuk.
Marissa yang tampil mengenakan busana berwarna merah jambu belacan bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan dilihat berada dalam keadaan sebak.
Pasangan tersebut ditemani peguam syarie, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri yang mewakili Aslam.
Sebelum ini, Muhammad Ammar dilaporkan berkata, anak guamnya telah memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai dan rujuk pada 10 Mac lalu.
Menurut beliau, Aslam didakwa melafazkan cerai terhadap Marissa sebanyak dua kali.
Lafaz cerai pertama berlaku pada September 2024 sebelum pasangan itu dirujuk semula pada bulan yang sama.
Aslam kemudiannya dikatakan melafazkan cerai buat kali kedua pada April tahun lalu dan pasangan berkenaan difahamkan kembali rujuk dua bulan selepas itu.
Prosiding kes berkenaan masih berjalan dan keputusan lanjut akan ditentukan oleh mahkamah.










