KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pengacara, Nana Mahazan menepis dakwaan kononnya dia dan anaknya, Althea, merajuk atau tidak lagi memberikan sokongan kepada program Talk To My Manager (TTMM) musim kedua yang pernah disertai selepas tersingkir daripada pertandingan tersebut.
Menurut Nana, ketiadaan mereka di lokasi pertandingan selepas penyingkiran bukan disebabkan rasa kecil hati, sebaliknya kekangan komitmen kerja serta tanggungjawab harian yang perlu diberi keutamaan.
“Bukan tak sokong. Masa kami tiga minggu berada dalam pertandingan itu pun, setiap kali balik kami terus cuci mekap, uruskan diri dan berehat. Selalunya kami hanya dapat tidur sekitar pukul 2 pagi, kemudian perlu bangun semula seawal pukul 4 pagi kerana ada komitmen lain yang perlu dilaksanakan.
“Saya sendiri perlu meneruskan tugas sebagai penyampai radio manakala Althea pula perlu ke sekolah. Kehadiran selepas tersingkir itu bukan satu kewajipan yang dituntut kepada kami.
”Namun, kami tetap memberikan sokongan dari rumah, menonton dan bersorak untuk peserta lain walaupun saya sendiri tidak mampu berjaga sehingga tamat siaran kerana perlu berehat untuk bekerja keesokan harinya,” katanya.
Mengulas dakwaan kononnya dia berkecil hati kerana tersingkir, Nana menegaskan perkara itu langsung tidak pernah berlaku dan hubungan mereka dengan peserta lain kekal baik seperti biasa.
“Sebenarnya memang tak pernah merajuk. Kami sentiasa berhubung dalam kumpulan sembang, saling memberi ucapan dan menyokong antara satu sama lain. Sebab itu saya sendiri tidak faham kenapa perkara ini dibangkitkan.
“Bila ada yang bercakap mengenai perkara itu, kami hanya ketawa kerana hubungan kami dengan semua orang okey sahaja.
Sementara itu, Althea turut berkongsi perkembangan single sulungnya yang sedang dalam proses akhir sebelum diperkenalkan kepada peminat.
Menurutnya, lagu berkenaan pada asalnya mempunyai konsep yang berbeza namun diubah suai selepas dia merasakan ia kurang sesuai dengan identiti muzik yang ingin diketengahkan.
“Pada mulanya saya sepatutnya merakamkan demo pertama lagu itu, tetapi saya rasa ia bukan genre yang saya suka.
”Jadi kami buat semula dan sebab itu proses rakamannya menjadi sedikit lambat. Saya juga tidak sempat membuat persembahan lagu itu di sini. Apa pun, tunggu sahaja perkembangan seterusnya,” katanya.
Berkongsi mengenai pendedahan awal yang diberikan kepada anaknya dalam dunia seni, Nana menambah, baru-baru ini dia telah membawa Althea menyaksikan sesi latihan kumpulan Hujan bagi memberi gambaran sebenar tentang cabaran di sebalik kerjaya sebagai penyanyi.
“Selepas selesai sesi rakaman, kami pergi melihat Hujan menjalani latihan. Saya mahu Althea melihat sendiri bahawa untuk menjayakan sesebuah persembahan atau konsert bukanlah sesuatu yang mudah.
“Ada latihan demi latihan dan banyak pengorbanan yang perlu dilakukan. Kami sendiri sudah merasai kepenatan sepanjang menyertai pertandingan itu. Jadi apabila memilih kerjaya dalam bidang seni, kita perlu sentiasa bekerja keras dan berusaha memberikan yang terbaik,” katanya.
Bagaimanapun, Nana mengakui masih terlalu awal untuk menentukan sama ada Althea akan meneruskan kerjaya sebagai penyanyi secara serius pada masa depan.
“Buat masa ini kami hasilkan single tersebut sebagai satu kenangan dan buah tangan selepas menyertai pertandingan. Untuk dia menjadi penyanyi sepenuh masa, itu belum tentu lagi kerana minat utamanya sebenarnya dalam bidang reka bentuk fesyen.
“Dia masih mempunyai masa untuk memberi fokus kepada apa yang mahu dipelajari dan diceburi. Kita tengok sahaja bagaimana perkembangannya nanti,” katanya.










