WAN Raja Antara pelakon lelaki Malaysia yang bakat lakonannya tidak perlu dipersoalkan lagi. Aktor yang wajahnya sinonim dengan drama televisyen ini mempunyai aura tersendiri, sebaris aktor lelaki pemenang anugerah.
Sikap Wan Raja atau nama sebenarnya Saiful Redzuan Abu Bakar yang tidak memilih watak membuatkan beliau disenangi ramai penerbit.
Bagaimanapun perkara itu sedikit menghalang sisi kreativiti Wan Raja kerana watak yang ditawarkan adalah berulang. Mungkin satu-satunya watak yang berlainan adalah menjadi lelaki lembut dalam drama rantaian Andartu, Kau bidadariku.
“Pelakon ini mencari rezeki. Tetapi saya bukan pelakon legenda yang memilih watak atau jalan cerita yang ditawarkan. Saya terima tawaran Radio Televisyen Malaysia yang penggambarannya dilakukan di Terengganu, saya sudah berpuas hati. Bagi saya tiada peluang untuk memilih, segalanya bergantung kepada rezeki.
“Kalau dipandang dari sudut lain, mungkin saya disetereotaip kerana tidak berpeluang memilih watak. Ya, memang benar dan sudah lama saya merasakan perkara itu. Sebab itu, apabila pihak produksi telefilem Camar Poelang memberi peluang kepada naskhah yang berbeza, saya terus katakan ya.
“Tapi hakikatnya pelakon Malaysia tidak boleh lari menjadi mangsa stereotaip. Sebab itu saya jarang berpeluang melakonkan watak yang berlainan. Kalau watak hero atau antagonis sekalipun tetap berulang. Kalau saya pada tahap legenda seperti Eman Manan, mungkin orang datang dan tadah skrip dan kemudian bincang soal harga.
“Macam saya, pelakon yang pada tahap biasa ini tiada peluang untuk memilih skrip,” katanya.
Dalam pada itu Wan Raja merasakan industri seni khususnya lakonan di Malaysia terlalu kecil untuk seseorang pelakon itu memilih naskhah atau watak. Tidak seperti industri luar negara yang lebih terbuka.
“Pada awalnya agak merisaukan. Tapi bila bermuhasabah diri, saya sedar yang industri kita ini tidak sebesar luar negara.
“Skop penonton kita sangat sedikit jika dibandingkan dengan Hollywood dan sebagainya. Dalam berjuta rakyat Malaysia, dan dipecahkan lagi mengikut bangsa, jumlah penonton drama Melayu amatlah sedikit.
“Saya tak ada peluang memilih. Asalkan ada rezeki, ada makanan untuk anak dan isteri,” kongsinya.
Pelakon berusia 48 tahun itu bagaimanapun bersyukur kerana dia masih relevan dalam dunia lakonan meskipun ramai rakan seangkatannya sudah berubah bidang.
“Saya sangat bersyukur, sikap tidak memilih watak inilah yang membuatkan saya masih relevan dalam industri seni sampai ke hari ini. Yang seangkatan ramai yang sudah hilang, ada yang berniaga dan sebagainya. Alhamdulillah saya masih di sini,” jelasnya lagi.

CAMAR POELANG
Selepas lapan tahun, Wan Raja dirisik pasukan produksi bahagian drama RTM untuk membintangi drama Camar Poelang dengan membawakan watak Zahir.
Dia menyifatkan lakonannya dalam drama tersebut sebagai satu peluang keemasan yang hanya datang sekali seumur hidup.
“Bagi pelakon yang gemar menjayakan watak yang berseni, mereka akan memilih RTM. Cerita ini pula sangat seronok untuk dilakonkan.
“Dengan barisan pelakon yang membintangi dalam drama ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk terlibat dalam drama ini.
“Yang paling memberangsangkan adalah sinematografinya yang sangat cantik. Ia menunjukkan betapa Malaysia, khususnya Terengganu memiliki kawasan yang indah untuk penggambaran,” katanya.










