Suami dipikat orang, yang hantar nota itu bukan wanita - Ayda Jebat - Utusan Malaysia

Suami dipikat orang, yang hantar nota itu bukan wanita – Ayda Jebat

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat berkongsi satu pengalaman lucu yang menimpa Nabil Mahir, apabila suminya itu secara tidak disangka-sangka telah didekati seorang lelaki yang cuba berkenalan dengannya ketika berada di Sarawak baru-baru ini.

Menerusi perkongsian di media sosial, Ayda berkata insiden tersebut berlaku selepas mereka menghadiri sebuah persembahan jelajah di Bintulu sebelum meluangkan masa bersama rakan-rakan dan penyanyi tempatan dari Sarawak.

Menurut Ayda, situasi itu bermula apabila seorang individu tidak dikenali menyerahkan dua keping nota kepada Nabil ketika mereka sedang bersantai.

“Apabila Nabil membuka nota pertama, tertulis ‘Hi! Please call me’. Dalam masa sama, nota kedua pula mengandungi nombor telefon. Saya dan beberapa rakan terus menyangka ada wanita yang cuba mendekati suami saya,” katanya di Threads.

Tambah penyanyi lagu Pencuri Hati itu, dia pada mulanya tidak terkejut dengan kejadian tersebut kerana mengakui suaminya mempunyai penampilan yang menarik.

Namun, suasana bertukar lebih mencuit hati apabila individu yang memberikan nota tersebut tiba-tiba muncul di sisi Nabil dan memperkenalkan dirinya.

“Tidak sampai lima saat kami ketawa, datang seorang lelaki berdiri di sebelah Nabil. Ketika itu kami semua terdiam seketika kerana terkejut.

“Dia kemudian mengaku dialah individu yang menghantar nota berkenaan, bukannya seorang wanita,” ujarnya.

Menurut Ayda, lelaki berkenaan turut meluahkan rasa kagum terhadap personaliti dan penampilan Nabil selain menyifatkannya sebagai seorang lelaki yang baik.

Malah, individu tersebut beberapa kali menyatakan bahawa dia menyukai karakter Nabil dan turut mencadangkan agar mereka menjalinkan kerjasama perniagaan pada masa hadapan.

“Saya sengaja memberi peluang untuk melihat reaksi Nabil berdepan situasi itu. Memang kelakar melihat reaksinya,” katanya berseloroh.

Ayda turut memberitahu bahawa salah seorang rakan mereka, Melaka Boy, akhirnya tampil membantu ‘menyelamatkan’ Nabil selepas masing-masing puas ketawa dengan situasi yang berlaku.

Dalam pada itu, Ayda sempat berseloroh dengan menyatakan bahawa golongan yang cuba merampas pasangan orang kini bukan hanya terdiri daripada wanita semata-mata.

“Moral cerita ini, sekarang bukan perempuan sahaja yang boleh mengurat suami orang, lelaki pun boleh,” katanya sambil ketawa.

Pada masa sama, Ayda menzahirkan penghargaan terhadap layanan mesra masyarakat Sarawak sepanjang kunjungan mereka ke negeri itu.

Katanya, pengalaman menikmati makanan tempatan serta keramahan penduduk setempat meninggalkan kenangan manis buat dirinya dan pasukan.

“Orang Sarawak sangat sopan dan baik. Individu yang mengurat Nabil itu pula bukan orang Sarawak. Dia memaklumkan berada di Bintulu atas urusan perniagaan dan mungkin juga bukan rakyat Malaysia.

“Apa pun, terima kasih kepada individu tersebut kerana memberikan kami kenangan lucu yang pasti akan diingati sampai bila-bila,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN