Saya pernah tinggal di rumah flat, kalau dah rempit itu rempit sahajalah - Janna Nick - Utusan Malaysia

Saya pernah tinggal di rumah flat, kalau dah rempit itu rempit sahajalah – Janna Nick

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah, Janna Nick menegaskan bahawa personaliti dan imej anggun ‘classy’ seseorang individu itu adalah sesuatu yang semula jadi dan tidak boleh dibuat-buat.

Janna atau Nurul Jannah Muner, 31, berkata, seseorang itu tidak sepatutnya membandingkan latar belakang orang lain kerana tidak semua individu bertuah dapat membesar dalam persekitaran yang serba mewah dan eksklusif.

“Cuma mahu cakap, bukan semua orang bernasib baik membesar dalam persekitaran yang classy. Sifat classy itu sendiri sebenarnya tidak boleh dibuat-buat.

“Kalau rempit itu, rempit sahajalah. Saya memang tidak boleh lari daripada kelihatan seperti seorang rempit,” katanya menerusi satu hantaran di Threads.

Mengulas mengenai perkara itu, Janna secara terbuka mengakui imej rempit lebih dekat dengan dirinya disebabkan dia dibesarkan di kampung dan pernah menetap di kawasan perumahan flat.

Janna berkata, imej tersebut melekat pada dirinya memandangkan dia sudah biasa berdikari dengan menunggang motosikal sendiri sejak di bangku sekolah lagi.

“Pernah tengok satu hantaran mengenai perempuan cantik yang anggun dan cantik yang rempit. Saya rempit tapi bukan rempit yang tunggang motosikal pergi berlumba malam-malam itu.

“Tapi, sebab membesar di kampung, umur 11 tahun sudah mula menunggang motosikal sendiri. Saya juga menggunakan motosikal untuk pergi ke sekolah selama bertahun-tahun. Pernah juga membesar dalam rumah flat,” ujarnya.

Perkongsian tersebut melihat Janna mahu mempertahankan wanita yang membesar dalam keluarga biasa yang membuktikan bahawa latar belakang kehidupan seseorang itu dibesarkan bukanlah satu halangan untuk mereka berjaya dalam hidup.

Untuk rekod, Janna merupakan selebriti kelahiran Kedah yang kini menetap bersama suaminya, Dini Schatzmann di London, United Kingdom.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN