PETALING JAYA: Pelakon Datin Atikah Suhaime sanggup mengetepikan ketakutannya terhadap permainan gelongsor air demi memenuhi keinginan anak perempuannya, Lyla Mulan Teh.
Atikah atau Nur Atikah Mohd Suhaime, 35, mendedahkan dia sebenarnya mengalami trauma terhadap permainan ekstrem tersebut sejak zaman kanak-kanak lagi.
“Trauma saya sejak kecil dan takut dengan gelongsor air. Sebab dahulu pernah nampak orang turun gelongsor sehingga kepalanya terhentak pada dinding kolam.
“Ingat tidak Singapura ada gelongsor air yang tinggi gila itu? Saya tidak berapa ingat tapi saya rasa saya masa itu berusia lima tahun,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Bagaimanapun, demi melihat senyuman pada wajah puteri sulungnya itu, anak kelahiran Singapura tersebut menggagahkan diri untuk menaiki gelongsor air berkenaan sebanyak enam kali berturut-turut.
“Namun hari ini, disebabkan anak perempuan saya, saya gagahkan diri untuk mengatasi trauma tersebut. Saya turun gelongsor itu sebanyak enam kali sebab Mulan meminta. Saya rasa Mulan telah menyembuhkan trauma saya,” ujarnya.
Pelakon filem Lagenda Budak Hostel itu turut berkongsi memori lama mengenai struktur gelongsor air zaman dahulu yang jauh berbeza dan lebih berbahaya berbanding binaan moden sekarang.
Dalam pada itu, Atikah akhirnya teringat bahawa lokasi kejadian yang mencetuskan traumanya itu adalah di taman tema air terkemuka suatu ketika dahulu iaitu Big Splash yang terletak di Singapura.
“Saya baru teringat, tempat itu ialah Big Splash dan saya sumpah trauma dengan gelongsor berkenaan. Dan saya ingat gelongsor itu diperbuat daripada konkrit, tidak seperti gelongsor zaman sekarang. Gelongsor tertinggi pernah ada,” katanya.
Untuk rekod, Atikah mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Datuk Datuk Lokman Teh pada Januari 2024 dan pasangan ini kemudiannya dikurniakan cahaya mata perempuan, Lyla Mulan Teh.










