KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial, Marissa Dania Hakim, mengakui reda menerima ketentuan Ilahi selepas rumah tangganya bersama Ahmad Aslam berakhir apabila Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengesahkan pasangan itu sah bercerai.
Marissa, 22, berkata, dia menerima takdir yang telah ditetapkan dan memilih untuk meneruskan kehidupan seperti biasa dengan hati yang terbuka.
“Insya-Allah saya kuat. Saya okey dan reda. Semoga yang baik-baik sahaja selepas ini. Doakan saya,” katanya.
Marissa berkata demikian selepas prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.
Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai hubungannya dengan Aslam selepas ini serta kemungkinan mereka kekal berkawan meskipun tidak lagi bergelar suami isteri, Marissa enggan mengulas lanjut.
Anak kepada pelakon terkenal, Abby Abadi itu turut memilih untuk tidak berkongsi lebih terperinci mengenai perasaannya atau situasi yang dilaluinya selepas perceraian tersebut.
Terdahulu, peguam syarie yang mewakili Ahmad Aslam, Muhammad Ammar Yaser mengesahkan pasangan berkenaan bukan lagi suami isteri selepas mahkamah membuat keputusan berhubung status perkahwinan mereka.










