Nama disalah guna, dari sudut mana pun kita tidak suka - M Nasir - Utusan Malaysia

Nama disalah guna, dari sudut mana pun kita tidak suka – M Nasir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Komposer dan penyanyi bertaraf legenda, Datuk M. Nasir enggan mengulas panjang berhubung tindakan saman yang difailkannya terhadap syarikat e-hailing terkemuka, Grab menerusi MyTeksi Sdn. Bhd. berhubung dakwaan penggunaan nama dan reputasinya bagi tujuan promosi tanpa kebenaran.

Ketika diajukan mengenai perkembangan terkini kes berkenaan, M. Nasir memilih untuk berhati-hati dan tidak mahu memberikan sebarang kenyataan lanjut.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Mentera Semerah Padi itu mengakui tidak menyenangi sebarang penggunaan nama atau identitinya yang dibuat tanpa persetujuan.

“Kalau boleh saya tidak mahu ulas mengenai hal ini. Tetapi, dari mana sudut pun kita tak sukalah (penyalahgunaan nama dan reputasi). Kalau ia bukan daripada kita sendiri kan,” katanya.

M Nasir berkata demikian ketika ditemui pada sesi pra-dengar album Algoritma 432 kugiran Pita Hati di Bijou, Ara Damansara, semalam.

Mengulas mengenai hak penggunaan nama individu, M. Nasir menjelaskan perkara tersebut lebih berkait dengan hak moral berbanding hak cipta.

Copyright? Tak, ia berkenaan hak moral lah, hak moral kita tak boleh digunakan,” ujarnya.

Sementara itu, M Nasir turut enggan mengulas lanjut apabila ditanya sama ada penyalahgunaan nama tersebut boleh menjejaskan reputasinya.

“Tak ada, saya tak ada komen lagilah. Okey,” katanya.

Terdahulu, M Nasir memfailkan saman terhadap MyTeksi Sdn Bhd (Grab Malaysia) dengan tuntutan melebihi RM5 juta berhubung dakwaan penggunaan namanya tanpa kebenaran bagi tujuan pemasaran minuman.

M Nasir, atau nama sebenarnya Mohd Nasir Mohamed, bersama syarikatnya, Luncai Emas Sdn Bhd, memfailkan tindakan tersebut di Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan MyTeksi sebagai satu-satunya defendan.

Menurut writ saman, beliau mendakwa defendan menggunakan nama dan jenama “M. Nasir” bagi menjual serta mempromosikan minuman yang dipasarkan sebagai “Kegemaran M. Nasir” menerusi platform syarikat itu tanpa mendapatkan persetujuannya terlebih dahulu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN