KRITIKAN filem di Malaysia telah memasuki fasa ketiga selepas kehadiran digital. Selain lebih banyak jurnal dan tulisan akademik daripada para cendekiawan tentang filem diterbitkan, kita juga menyaksikan lebih banyak suara penonton yang hadir dalam pelbagai respons tentang naskhah yang ditayangkan di panggung. Semua berlaku pantas dan secara langsung.
Berbanding dua fasa awal kritikan filem di Malaysia, para pengkritik hanya menulis di akhbar arus perdana yang semestinya perlu melalui beberapa tapisan ‘gatekeeper’ terdiri daripada editor, sub-editor sebelum tulisan itu dilepaskan kepada khalayak. Bagaimanapun, digital mengubah tradisi ini, membolehkan sesiapa sahaja bersuara memakai topi pengkritik di media sosial atas nama demoratik.
Penerbit dan mantan wartawan, Datuk Saniboey Mohd Ismail mengakui keadaan hari ini menjadi sangat kompleks apabila ramai penonton yang menggelar diri sebagai pengkritik atau pengulas di media sosial berlumba-lumba membuat ulasan filem sebaik keluar daripada panggung.
Saniboey menggelar situasi hari ini sebagai fenomena ‘speed over intellectuality’ atau kepantasan mengatasi intelektual di mana banyak penonton bersuara kerana mahu menjadi lebih pantas berpendapat tentang filem yang ditayangkan.
“Penonton atau pempengaruh sekarang berlumba mahu jadi yang pertama muat naik ulasan. Keluar sahaja panggung, terus buat video depan wayang.
“Bukan hanya filem, sekarang teaser 15 saat atau trailer pun orang sudah buat ‘review’. Macam mana kita boleh nilai sebuah karya seni yang mengambil masa berbulan-bulan untuk disiapkan hanya berdasarkan potongan 15 saat? Di mana nilai intelek dalam kritikan itu kalau objektif utamanya hanya mahu kejar view dan kepantasan?” katanya.
Saniboey ditemui semasa sesi Pasca Wayang: Masa Depan Penonton sempena Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur, di Kafe Tiga Belas, baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai senario ini, penerbit drama bersiri Metro Crime Series (MCS) tersebut berpendapat terdapat tiga komponen yang dianggap sebagai kuasa dalam kritikan moden.
“Kritikan hari ini digerakkan oleh tiga perkara iaitu algoritma iaitu apa yang lalu feed kamu, itulah yang kamu percaya. Kemudian pengalaman sosial, kalau kawan-kawan di aplikasi X kata filem itu ‘sampah’ maka persepsi itu akan terbentuk sebelum kamu tonton filem itu.
“Kemudian kepercayaan, penonton ada hero mereka sendiri di media sosial. Mereka tak peduli apa pengkritik bertauliah kata, mereka cuma akan dengar cakap orang yang mereka ‘follow’ di media sosial,” katanya.

Sekadar jadi pengkritik sampah?
Bagi menjadikan budaya kritik di Malaysia berkembang semakin baik, Saniboey mengajak para pengulas dan pengkritik filem untuk merenung kandungan yang dikongsikan mengenai sesebuah filem. Ini kerana, menurut Saniboey, jika kritikan tidak disampaikan dengan baik, ia hanyalah sekadar ‘bunyi bising’.
“Ramai pengkritik sekadar mahu jadi bunyi bising, kadang bukan bersifat membina fiem tapi hanya mahu membina jenama peribadi pengulas. Kena bertanggungjawab dengan apa yang dicakap. Adakah mahu jadi pengulas yang ‘sampah’ atau mendidik?,” katanya.
Bagaimanapun, Sani enggan kenyataannya di salah faham. Dalam meraikan kuasa demokratik dan kebebasan bersuara, dia turut berharap agar pengkritik hari ini meluangkan masa untuk meningkatkan literasi filem untuk memberikan buah fikir yang lebih baik.
“Saya tidak halang orang mahu buat ulasan, itu hak masing-masing mahu ulas trailer 15 saat atau TikTok.
“Cuma, bacalah sikit. Tingkatkan literasi filem. Jangan hanya tahu kata ‘best’ atau ‘tak best’. Terangkan kenapa. Jangan jadi sekadar ‘gangguan’ dalam industri, tapi jadilah sebahagian daripada ekosistem yang membantu filem kita jadi lebih baik,” katanya.










