Jangan banding cara wanita bersalin - Ozzlyn Wati - Utusan Malaysia

Jangan banding cara wanita bersalin – Ozzlyn Wati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Ozzlyn Wati meminta orang ramai supaya berhenti membanding-bandingkan kaedah bersalin normal dan pembedahan (czer) yang dilalui oleh golongan ibu.

Ozzlyn atau Rozlinawaty Ismail, 45, berkata, setiap ibu mempunyai ujian tersendiri ketika melahirkan anak dan kedua-dua kaedah tersebut tetap menuntut perjuangan seorang ibu.

“Saya ada enam orang anak, ada yang lahir secara czer dan ada yang normal. Kalau mahu cerita pasal sakit kontraksi untuk bersalin normal, saya sendiri tidak tahu mahu terangkan macam mana.

“Sakitnya itu sampai ke tahap bila doktor datang periksa bukaan rahim, kita dah rasa sangat sakit sehinggakan waktu proses menjahit luka pun langsung tak terasa apa-apa,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.

Dalam pada itu, bagi pengalaman melahirkan anak secara pembedahan pula, isteri kepada pelawak Johan ini memberitahu cabaran sebenar bermula sebaik sahaja kesan ubat bius hilang.

“Bersalin secara czer ini sakitnya tidak macam normal, tapi cabaran nak menjaga diri selepas itu sangat tinggi terutama apabila sakit mula datang selepas habis bius.

“Proses berpantang untuk kes bersalin normal sebenarnya lebih senang berbanding czer kerana czer mengambil masa hampir setahun untuk perut kembali kempis, manakala bersalin normal cuma tiga bulan sahaja,” jelasnya.

Dalam hantaran yang sama, Ozzlyn turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada semua ibu dan mendoakan golongan yang sedang berusaha mendapatkan zuriat agar dikurniakan rezeki mengandung serta melahirkan anak sendiri kelak.

“Apa-apa pun, saya mahu ucapkan tahniah untuk semua ibu di luar sana. Bagi yang masih berusaha untuk mendapatkan zuriat, saya sentiasa doakan anda semua.

“Semoga Allah memberikan nikmat mengandung dan melahirkan kepada kalian tidak lama lagi. Amin,” katanya.

Untuk rekod, Ozzlyn mendirikan rumah tangga bersama penyampai radio dan pelawak, Johan pada 25 Julai 2009 dan pasangan ini telah dikurniakan enam orang cahaya mata iaitu Ariq, Sodiq, Haziq, Chantiq, Moleiq, dan Nur Latifah Cherdiq Hanania.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN