KUALA LUMPUR: Giat melakukan persiapan menjelang konsert Exists Momento Mori pada 1 Ogos ini, komposer terkenal, Ajai mengakui terharu dengan sambutan jualan tiket yang masih berbaki lima peratus.
Kata Ajai, dia bersama anggota kumpulan lain kini sedang giat menjalankan latihan, selain tidak sabar untuk menghiburkan peminat setia mereka di Unifi Arena, Bukit Jalil nanti.
“Sekarang saya setiap hari bersama kumpulan Exists untuk membuat latihan konsert yang sudah semakin hampir. Tiket jualan tinggal lima peratus sahaja lagi yang belum terjual.
“Saya berasa sangat seronok dengan sambutan yang diberikan sejak hari pertama tiket dijual. Hari pertama sahaja sudah mencapai tujuh ke lapan ribu jualan.
“Paling seronok apabila melihat sambutan peminat. Kami akan menyanyi lebih 25 lagu yang semuanya boleh dinyanyikan bersama di hari konsert nanti,” katanya.
Bakal mempersembahkan repertoire yang berbeza, Ajai sempat menzahirkan rasa bangga dengan perubahan besar vokalis kumpulan tersebut, Mamat yang dijangka bakal keluar dari Rumah Pengasih tidak lama lagi.
“Repertoir kali ini sememangnya berbeza. Apatah lagi bila ada dua-dua vokalis, Ezad dan Mamat. Suasana juga berbeza kerana ini pertama kali kami melakukan persembahan di Unifi Arena.
“Lagipun Mamat akan keluar dari Rumah Pengasih tidak lama lagi. Untuk bekerja dengan orang yang semakin segar ini lain impaknya. Ini peluang terakhir buatnya untuk terus berjaya
“Kami kawan-kawan hanya mampu doakan yang terbaik untuk dia,” jelasnya ketika ditemui di majlis pelancaran lagu ciptaannya, Diari Air Mata nyanyian Aisha Retno, baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Ajai turut berkongsi hasratnya untuk merakam semula lagu malar segar yang pernah mencipta fenomena iaitu Cinta Di Akhir Garisan dan Isabella 98.
Kata Ajai, lagu ikonik itu juga bakal diberikan ‘nafas’ baharu dan akan dinyanyikan oleh barisan penyanyi popular generasi kini.
“Saya terlibat sebagai penerbit untuk dua lagu tersebut. Saya rasa ramai yang masih mencari dan mengenali lagu-lagu itu. Jadi kenapa tidak kita hasilkan semula untuk generasi baharu.
“Selepas versi asal dirakamkan dahulu, belum ada lagi yang merakamkan semula lagu-lagu tersebut kerana urusan mendapatkan hak cipta bukan sesuatu yang mudah
“Lagu Cinta Di Akhir Garisan merupakan lagu antarabangsa dalam bahasa Inggeris dan liriknya diterjemahkan oleh Johari Teh. Untuk dapatkan hak ciptaan itu saya sudah tahu salurannya kerana pernah buat. Isabella 98 pula kita akan rakamkan dalam versi orkestra di Budapest ,” ujarnya.










