Undur diri sebab teman istimewa lelaki ‘red-flag’? - Utusan Malaysia

Undur diri sebab teman istimewa lelaki ‘red-flag’?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kalau sudah namanya soal hati, memang bukan semua yang indah di mata akan berakhir dengan bahagia. Begitulah kisah seorang artis wanita jelita yang kini dikatakan terpaksa melupakan hasrat untuk meneruskan hubungan dengan seorang lelaki yang sebelum ini cukup istimewa di hatinya.

Pada awalnya, ramai yang menyangka hubungan mereka bakal menuju ke fasa lebih serius. Mana tidaknya, lelaki tersebut bukan sahaja berpenampilan kemas, malah memiliki wajah yang boleh dikatakan lengkap pakej, segak dan cukup tampan. Sekali pandang, memang nampak seperti calon idaman ramai wanita. Namun, bak kata orang, jangan menilai buku hanya pada kulitnya.

Menurut sumber rapat, artis wanita ini mula berasa ragu-ragu selepas sering menerima pelbagai khabar kurang enak mengenai lelaki berkenaan daripada beberapa individu berbeza.

Pada mulanya dia cuba bersikap positif dan tidak mahu terlalu cepat menghukum, tetapi apabila cerita yang sama mula berulang daripada ramai pihak, dia mula berfikir panjang.

Cik Bunga dengar, antara perkara yang membuatkan si artis ini kurang senang adalah sikap lelaki tersebut yang dikatakan sukar untuk berlaku jujur dan gemar bermain tarik tali dalam hubungan.

Walaupun pada luaran nampak sempurna dan meyakinkan, hakikatnya ada beberapa perangai lelaki itu yang cukup membuatkan artis wanita ini melihatnya sebagai satu ‘red flag’ besar.

Bukan mudah untuk membuat keputusan itu kerana pada awalnya dia benar-benar membuka ruang untuk mengenali lelaki tersebut dengan lebih serius. Namun, sebagai wanita yang pernah melalui pelbagai fasa kehidupan, dia memilih untuk lebih berhati-hati daripada menyesal kemudian hari.

Cik Bunga yakin, dia pun tidak mahu terjebak dalam hubungan yang akhirnya hanya membawa luka dan tekanan emosi. Lebih baik berundur sekarang sebelum hati terlanjur lebih jauh.

Apa pun, keputusan untuk melangkah pergi mungkin adalah pilihan paling tepat. Daripada terus memegang harapan pada seseorang yang penuh tanda amaran, lebih baik memilih ketenangan diri sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN