TTMM2: Berhabis RM10,000 setiap episod demi Azeeva - Datuk A. Aida  - Utusan Malaysia

TTMM2: Berhabis RM10,000 setiap episod demi Azeeva – Datuk A. Aida 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Masuk sahaja minggu baharu Talk To My Manager Musim 2, antara perkara yang mula jadi perhatian ramai adalah penampilan Azeeva.  Sebenarnya, di sebalik pesona dan keanggunannya di atas pentas, ada usaha besar daripada ibunya sendiri,  A. Aida yang sanggup berhabis wang ringgit demi memastikan anaknya tampil sebaik mungkin setiap minggu.

Bagi A. Aida atau Zaidah Awang, 56, peluang yang datang kepada Azeeva dalam pertandingan itu bukan sesuatu yang boleh dibuat sambil lewa. 

Disebabkan itu, setiap persiapan dilakukan dengan teliti termasuk latihan vokal, stamina dan imej anaknya di atas pentas dan dia mahu orang nampak kesungguhan Azeeva sebagai pendatang baharu dalam industri seni.

“Saya memang ambil kelas tambahan untuk Azeeva supaya dia dapat belajar lebih banyak teknik. Saya mahu dia sentiasa perbaiki diri dari minggu ke minggu. Saya juga jaga stamina dia. Pada hari persembahan, memang saya akan pastikan dia pergi gimnasium dan jaga badan dia supaya cukup tenaga untuk buat persembahan.

“Saya sekarang macam layan dia seperti budak sekolah. Saya paksa dia tidur awal dan tidak boleh berjaga sampai pagi sangat. Bila masuk pertandingan macam ini, memang perlu jaga rutin harian. Kalau badan penat, persembahan pun tak jadi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam masa sama, penampilan busana Azeeva setiap minggu juga menjadi antara perkara yang paling diberi perhatian. Ada beberapa busana yang digayakan penyanyi itu direka khas oleh pereka fesyen terkenal, Melinda Looi.

Menurut A. Aida, dia sanggup mengeluarkan belanja besar kerana percaya imej memainkan peranan penting dalam sesebuah persembahan. Baginya, penampilan yang baik mampu membantu keyakinan seseorang artis di atas pentas.

“Ada beberapa episod saya tempah khas dengan Melinda Looi. Selain itu saya juga gunakan khidmat pereka lain seperti MIDI. Satu busana boleh cecah RM5,000. Kalau campur pakaian dan solekan, satu episod memang sekitar RM10,000.

“Saya tidak fikir sangat soal rugi sebab Alhamdulillah saya mampu. Saya cuma mahu bagi yang terbaik untuk anak saya. Untuk cipta nama dalam industri ini memang bukan mudah. Jadi bila dapat platform macam ini, kita perlu gunakan betul-betul,” tegasnya.

Tambah A. Aida, dia juga tidak pernah meletakkan tekanan berlebihan terhadap Azeeva untuk menjadi juara dalam pertandingan tersebut. Apa yang lebih penting adalah pengalaman dan peluang untuk anaknya belajar menjadi seorang penghibur yang lebih baik.

“Saya selalu pesan dekat dia supaya jangan terlalu fikir soal menang atau kalah. Yang penting, dia kena buat yang terbaik dan belajar daripada setiap persembahan. Pertandingan macam ini bukan selalu dapat. Jadi saya mahu dia gunakan peluang ini untuk tambah pengalaman dan bina keyakinan diri,” ujarnya.

Aida berkata, perhatian yang diterima Azeeva sekarang sedikit sebanyak menunjukkan usaha mereka mula membuahkan hasil apabila ramai mula memberi perhatian terhadap anaknya setiap minggu.

“Sekarang bila orang nampak Azeeva, mereka sudah mula tertunggu-tunggu apa yang kami akan tampilkan. Bagi saya itu satu perkembangan yang baik. Untuk naik dalam industri ini memang perlukan usaha yang konsisten. Orang kena nampak kesungguhan kita.

“Bila masuk pertandingan macam ini, memang jadual jadi sangat sibuk. Tapi, saya percaya semua ini proses untuk jadikan dia lebih kuat. Kadang-kadang orang nampak cantik atas pentas sahaja, tapi mereka tak nampak persiapan di belakang itu macam mana,” katanya.

Dalam pada itu, A. Aida turut mengakui dia sebenarnya lebih selesa jika Azeeva memberi fokus kepada bidang nyanyian berbanding lakonan. Baginya, kerjaya sebagai penyanyi memberi lebih banyak masa untuk kehidupan peribadi dan keluarga.

“Kalau menyanyi, habis sahaja persembahan dia boleh balik rumah dan ada masa untuk diri sendiri. Tapi kalau berlakon, jadual memang lebih padat. Saya lebih nampak dia sebagai penyanyi. Kalau berlakon itu mungkin sekali-sekala bolehlah.

Selain memberi fokus kepada pertandingan, A. Aida berkata mereka sebenarnya sudah mempunyai perancangan kerjaya buat Azeeva selepas tamat TTM2 nanti. Antaranya termasuk pemberian nafas baru untuk lagu Sejiwa daripada Ameng Spring yang akan dinyanyikan semula oleh Azeeva dan pelancaran lagu pertamanya, berkolaborasi bersama Zaki Yamani.

“Selepas habis Talk To My Manager 2  nanti, kami akan lancarkan lagu Sejiwa versi Azeeva yang diberi nafas baru. Kami memang sudah rancang perjalanan kerjaya dia perlahan-lahan. Saya mahu orang nampak langkah dia satu demi satu.

“Selepas pelancaran lagu  itu, kami akan keluarkan pula lagu duet Azeeva bersama Zaki Yamani. Insya-Allah semuanya sedang dalam perancangan. Saya harap langkah demi langkah ini dapat bantu Azeeva bina nama dia sendiri dalam industri.

“Selain itu, sekitar September atau Oktober nanti, Azeeva akan terlibat dengan filem Bisikan Nafsu. Itu adalah skrip tulisan saya sendiri. Jadi saya memang teruja untuk tengok bagaimana perkembangan dia nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN