KUALA LUMPUR – Konsert The Grand Slam Unplugged 2 bakal tampil dengan kelainan tersendiri apabila menghimpunkan tiga gitaris tersohor tanah air dalam satu pentas, sekali gus menjanjikan pengalaman muzik yang luar biasa kepada peminat.
Kumpulan Slam yang menjadi tunjang konsert berkenaan mengambil pendekatan berbeza dengan menampilkan Aznan Alias, JoBranko dan Kid Search sebagai antara tarikan utama.
Gabungan tiga figura berpengaruh itu dilihat sebagai langkah strategik dalam mengangkat nilai persembahan apabila masing-masing mempunyai identiti, gaya dan sentuhan tersendiri yang telah mencorakkan landskap muzik tempatan sejak sekian lama.
Kehadiran mereka bukan sahaja menambah kemeriahan, malah dijangka menjadi elemen paling dinanti apabila kepakaran dan pengalaman luas yang dimiliki bakal diterjemahkan dalam bentuk persembahan yang lebih segar dan bertenaga.
Konsert yang dijadual berlangsung pada 20 Jun ini di Mega Star Arena Kuala Lumpur itu turut dilihat sebagai medan penyatuan pemuzik pelbagai latar belakang dalam meraikan kekuatan muzik tempatan.
Selain menampilkan kolaborasi eksklusif, konsert berkenaan turut membawa elemen nostalgia apabila diinspirasikan daripada persembahan ikonik Slam pada 1996 di Stadium Merdeka.
Namun begitu, Slam menegaskan The Grand Slam Unplugged 2 bukan sekadar mengulang kejayaan lalu, sebaliknya hadir dengan pendekatan baharu yang lebih segar bagi mencipta momen tersendiri kepada penonton.
Dalam pada itu, sambutan terhadap konsert berkenaan juga amat menggalakkan apabila sebahagian besar tiket telah terjual sejak ia dilancarkan sebelum ini.
Perkembangan tersebut sekali gus membuktikan pengaruh Slam masih utuh dalam industri muzik tempatan selain terus mendapat sokongan peminat merentasi generasi.
Konsert The Grand Slam Unplugged 2 dijangka menjadi antara acara muzik paling dinanti tahun ini dengan gabungan nama besar dan elemen nostalgia yang diyakini mampu mencipta satu lagi momen bersejarah dalam industri hiburan tanah air.










