PETALING JAYA: Selepas watak Bayan diumumkan semalam, kini, watak seorang raja pula diperkenalkan dengan menampilkan Luqman Hafidz sebagai Sultan Melaka.
Menerusi satu hantaran Instagram, foto Luqman atau Muhammad Luqman Hafidz Mohd Fauzi, 35, dimuat naik dan diperkenalkan sebagai Sultan Melaka.
“Perjalanannya bersama Enfiniti telah lama bermula. Daripada seorang anak muda yang pernah menghidupkan watak utama dalam Ola Bola The Musical, kini beliau kembali menggalas watak Sultan Melaka.
“Seorang raja yang memerintah dengan kuasa. Namun, di sebalik kebesaran takhta itu, tersimpan hati seorang manusia yang sedang bergelut dengan takdir dan kehilangan.
“Inilah Sultan Melaka kami,” katanya dalam satu hantaran Instagram hari ini.
Dalam perkongsian sama, watak Sultan Melaka disifatkan sebagai orang yang berkuasa dalam pemerintahannya.
“Seorang pemerintah yang kata-katanya yang mampu membentuk sebuah kerajaan. Namun, dalam dunia Putri Gunung Ledang, daulat juga menuntut harga yang amat besar,” tambahnya.
Selepas lebih dua dekad, Penerbit Eksekutif dan Pengarah PGLM iaitu Datin Sri Tiara Jacquelina kembali menghidupkan naskhah ikonik berkenaan dengan membuka sesi uji bakat rasmi bagi mencari barisan pelakon generasi baharu.
Semalam, dua watak Bayan ‘saksi cinta’ telah diumumkan yang akan digalas oleh dua pelakon hebat iaitu Mimy Fly dan Nadia Aqilah. Dua watak ini memainkan peranan sebagai peneman dan saksi kepada perjalanan suka dan duka Agusti Puteri.










