PETALING JAYA: Penyanyi, Aisha Retno mendedahkan kesemua pelakon yang terlibat dalam pementasan semula Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang perlu keluar daripada zon selesa masing-masing sepanjang sesi latihan berlangsung.
Aisha atau Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 26, berkata, sepanjang bengkel dan latihan dijalankan, semua pelakon diberikan layanan sama rata tanpa mengira populariti masing-masing.
“Ketahuilah bahawa kami semua sedang bekerja keras demi memastikan pementasan baharu Puteri Gunung Ledang ini berjaya dipentaskan pada Oktober nanti.
“Sepanjang bengkel ini berlangsung, tiada siapa berada dalam zon selesa,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya, hari ini.
Tambah pelantun lagu Tak Adil itu, setiap pelakon juga dilayan dengan layanan yang sama tidak mengira sama ada pelakon tersebut terkenal atau tidak.
“Tiada layanan istimewa hanya kerana seseorang itu terkenal, semua dilayan sama rata,” katanya.
Menurut Aisha, latihan yang dijalankan turut menguji ketahanan mental dan fizikal para pelakon sepanjang proses tersebut berlangsung.
“Saya juga boleh katakan teater muzikal ini umpama kem latihan ketahanan sepanjang hayat. Jadi, tolonglah percaya kepada kami, dua Gusti Puteri, barisan pelakon lain serta pelakon pembantu.
“Kami akan memberikan komitmen sepenuhnya demi memartabatkan persada teater muzikal Malaysia,” tambahnya.
Terdahulu, Aisha Retno telah diumumkan sebagai antara pelakon yang akan menggalas watak Puteri Gunung Ledang.
Dalam pada itu, kejayaan ini merealisasikan impian lama Aisha yang sebelum ini secara terbuka menyatakan hasratnya untuk menghadiri sesi uji bakat pada April lalu demi mencuba nasib menggalas watak ikonik berkenaan.










