Semua itu bukan satu kesilapan - Ernie Zakri  - Utusan Malaysia

Semua itu bukan satu kesilapan – Ernie Zakri 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pernah dikecam kerana didakwa tidak konsisten dalam pemilihan lagu, dikritik kerana terlalu bereksperimen dengan karya dan acap kali menjadi sasaran netizen di media sosial, namun bagi Ernie Zakri, semua itu bukan alasan untuk menyesali perjalanan seninya.

Sebaliknya, penyanyi bersuara lunak itu menganggap setiap fasa yang dilalui termasuk pengalaman ketika berada di bawah pengurusan lama sebagai proses yang membentuk dirinya menjadi lebih matang dan lebih memahami apa yang sebenarnya diinginkan dalam kerjaya seni.

Tidak menuding jari kepada mana-mana pihak, Ernie berkata, dia memilih untuk melihat segala yang berlaku sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini sebagai satu perjalanan pembelajaran yang tidak mungkin dapat dibeli dengan wang ringgit.

“Saya tidak pernah menganggap apa yang berlaku sebelum ini sebagai satu kesilapan atau mahu menyalahkan sesiapa termasuk diri sendiri. Saya percaya kalau saya tidak melalui semua pengalaman itu, mungkin saya tidak akan berada di tahap sekarang atau menjadi Ernie Zakri yang saya kenal hari ini.

“Saya mula menyanyi sejak usia 17 tahun. Jadi sepanjang perjalanan itu, memang banyak perkara yang saya belajar tentang industri ini, tentang manusia dan juga tentang diri sendiri. Ada masanya kita rasa sesuatu keputusan itu tepat, tetapi akhirnya kita sedar banyak perkara sebenarnya berada di luar kawalan kita sebagai artis.

“Saya faham kenapa ada peminat yang melihat perjalanan muzik saya sebelum ini seperti tidak konsisten. Selepas album Aura misalnya, mungkin ada yang nampak saya seperti keliru dengan arah tuju sendiri. Tetapi hakikatnya ketika itu memang banyak perkara berlaku di belakang tabir yang tidak boleh saya kawal sepenuhnya,” katanya.

Menurut Ernie, ketika berada di bawah sebuah syarikat pengurusan sebelum ini, dia melalui fasa yang agak mencabar apabila ada perkara yang tidak selari dengan visi dan jiwa seninya sendiri.

Namun penyanyi lagu Masing-Masing itu enggan menjadikan perkara tersebut sebagai satu isu besar atau membuka aib mana-mana pihak.

“Dalam industri ini semua orang mencari rezeki. Kadang-kadang mungkin ada pihak yang tidak sedar tindakan mereka boleh membuatkan artis rasa terikat atau tidak dapat menjadi diri sendiri sepenuhnya.

“Tetapi saya tidak mahu melihat perkara itu dari sudut negatif. Saya anggap semuanya sebagai pengalaman yang mematangkan saya. Saya belajar, sebagai seorang artis, kita juga perlu tahu apa yang kita mahukan dan berani bersuara tentang hala tuju sendiri.

“Alhamdulillah sekarang saya rasa lebih tenang dan lebih jelas dengan apa yang saya mahu lakukan dalam kerjaya seni saya,” katanya.

Kini kembali bernaung di bawah Universal Music Malaysia selama tiga tahun, Ernie mengakui dia lebih selesa kerana mempunyai kebebasan untuk menentukan perjalanan karier dan karya yang mahu dihasilkan.

Katanya, dia kini lebih yakin untuk tampil dengan karya yang benar-benar dekat dengan dirinya tanpa terlalu memikirkan sama ada semua orang akan menerimanya ataupun tidak.

“Sekarang saya lebih mempunyai suara dalam menentukan perjalanan seni sendiri. Saya juga kini berada di bawah pengurusan kakak saya sendiri, jadi semuanya lebih mudah untuk dibincangkan dan difahami.

“Saya cuma mahu jadi seorang artis yang berkarya dengan jujur. Saya mahu menghasilkan karya yang saya sendiri percaya dan bangga untuk bawakan. Kalau orang suka, Alhamdulillah. Kalau ada yang tidak suka pun saya hormati sebab setiap orang ada citarasa masing-masing.

“Pada akhirnya saya sedar kita memang tidak akan dapat memuaskan hati semua orang. Akan sentiasa ada yang suka dan ada yang tidak suka. Tetapi kalau kita konsisten dengan apa yang kita percaya, lama-kelamaan orang akan faham juga,” katanya.

Dalam masa sama, Ernie turut mengakui dia tidak dapat lari daripada kecaman netizen terutama di media sosial yang sering mempertikaikan pelbagai perkara berkaitan dirinya termasuk soal album, lagu runut bunyi filem dan penglibatannya dalam aktiviti lain di luar nyanyian.

Bagaimanapun katanya, dia kini lebih tenang berdepan situasi tersebut dan cuba melihat setiap kritikan daripada sudut yang lebih positif.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN