KUALA LUMPUR: Pelakon, Yusof Hashim mengakui memikul tanggungjawab besar apabila dipilih menerajui watak Gusti Adipati dalam teater muzikal Puteri Gunung Ledang (PGLM) yang bakal dipentaskan tahun ini.
Yusof atau nama sebenarnya Mohd Yusof Hashim, 33, berkata, peluang yang diterima menerusi sesi uji bakat itu disifatkan sebagai rezeki besar, meskipun dia berdepan rasa gementar kerana karya berkenaan mempunyai pengaruh dan kelompok peminat tersendiri.
Katanya, PGLM bukan karya biasa kerana naskhah legenda itu sudah bertahan selama dua dekad selain pernah dipentaskan dua kali sebagai teater muzikal.
“Saya memang rasa gementar, tetapi saya melihat ini sebagai rezeki daripada Allah.
“Saya tahu, ramai termasuk penggiat teater hebat yang mengidamkan watak Gusti Adipati sejak sekian lama.
“Namun, pastinya ada sebab pihak Infinity memilih saya selepas melalui sesi uji bakat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mengulas mengenai persiapan menjayakan watak itu, Yusof berkata, dia masih belum mendalami karakter Gusti Adipati secara menyeluruh berikutan jadual penggambarannya yang padat ketika ini.
Bagaimanapun, katanya, dia tidak mahu mengambil mudah persediaan menjelang pementasan tersebut.
“Saya masih ada beberapa bulan sebelum pementasan, jadi tiada alasan untuk saya tidak menjalani latihan.
“Sebelum menghafal dialog dan lagu, saya mahu mengkaji budaya Jawa terlebih dahulu termasuk cara duduk, pertuturan, adab masyarakat terdahulu serta hierarki dalam keraton.
“Memandangkan watak Adipati sangat besar, saya ketepikan dahulu buat sementara waktu. Selepas selesai penggambaran, barulah saya akan memberi fokus sepenuhnya terhadap skrip,” katanya.
Dalam pada itu, Yusof turut menganggap kecaman dan keraguan segelintir pihak terhadap kemampuannya membawakan watak berkenaan sebagai perkara lumrah.
Menurutnya, sesiapa sahaja yang dipilih untuk menjayakan karakter ikonik itu pasti akan berdepan harapan tinggi daripada peminat.
“Watak Gusti Adipati memang menjadi idaman ramai. Kalau bukan saya sekalipun, individu lain yang memegang watak ini tetap akan menerima tohmahan sama kerana jangkaan orang ramai terlalu tinggi.
“Ada yang mengenali saya menerusi Dubsmash, ada yang tahu saya sebagai penari dan pelakon. Saya rasa tidak perlu memberi penjelasan kepada sesiapa.
“Cukup sekadar saya tahu kemampuan diri dan pihak Infinity juga tahu apa yang mereka nilai ketika sesi uji bakat. Selebihnya, saya hanya perlu bekerja keras,” katanya.
Pada masa sama, Yusof berharap peminat naskhah legenda itu dapat memberi ruang kepada pihak produksi untuk menampilkan pembaharuan dan kelainan dalam versi terbaharu PGLM.
Terdahulu, Yusof diumumkan sebagai pelakon yang bakal membawa watak Gusti Adipati dalam pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical tahun ini.










