Nuha Bahrin takut berdepan kegagalan lagi - Utusan Malaysia

Nuha Bahrin takut berdepan kegagalan lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Terkenal dengan personaliti yang ceria, lucu dan sentiasa positif di mata peminat penyanyi, Nuha Bahrin mengakui dirinya sering dihantui rasa keresahan yang melampau kerana takut untuk berdepan dengan kegagalan sebagai penyanyi sekali lagi.

Pernah menerima kecaman hebat daripada masyarakat suatu ketika dahulu gara-gara teknik nyanyiannya kurang memuaskan, gadis bertubuh genit itu mengakui episod hitam itu membuatkan dirinya hilang keyakinan diri.

Menurut penyanyi berusia 25 tahun itu, ketakutan tersebut perlahan-lahan merampas keyakinan dirinya sebagai seorang penghibur.

“Saya pernah gagal sebelum ini. Disebabkan pengalaman itu, saya rasa susah untuk bangkit semula. Dulu saya memang jenis bebas melakukan apa saja yang saya mahu.

“Saya menyanyi sepenuh hati dan sangat seronok membuat persembahan. Tapi sekarang saya jadi takut-takut. Saya rasa tahun 2020 itu memang titik terendah saya. Itu kali pertama saya dikecam teruk,” katanya kepada Pancaindera.

Nuha berkata, perkara itu menjadi lebih berat apabila ahli keluarganya turut membaca setiap kecaman yang dilemparkan terhadap dirinya di media sosial.

“Sewaktu saya berusia 17 atau 18 tahun, saya sejenis yang langsung tidak kisah tentang apa yang orang kata tentang saya. Saya fikir saya tidak akan peduli dengan pandangan orang.

“Tetapi apabila orang mula pandang dan kenal kita, saya sedar apa saja yang dilakukan, saya turut membawa nama keluarga saya dalam perjalanan kerjaya seni saya,” kongsinya.

Bagaimanapun, Nuha percaya setiap kepahitan yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri dan menjadi proses penting untuk mematangkan dirinya.

“Saya rasa benda itu memang perlu berlaku supaya saya jadi diri saya yang sekarang. Sekarang saya cuba belajar terima kesilapan sendiri dan perlahan-lahan jadi lebih baik,” jelasnya.

Pernah Dikhianati, Kini Lebih Berhati-hati

Dalam masa sama, penyanyi Casablanca itu mendedahkan dirinya juga tidak terlepas daripada pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap dirinya.

Tidak mendedahkan nama mana-mana individu, Nuha memberitahu, dia pernah menjadi mangsa penganiayaan melibatkan urusan kerja sehingga menyebabkan dirinya berasa sangat kecewa.

“Sebelum ini, saya pernah didatangi seseorang yang menabur janji kepada saya kononnya mahu membantu untuk melonjakkan nama saya. Tetapi sebenarnya mereka mempunyai muslihat yang lain dan cuba untuk mengambil kesempatan.

“Alhamdulillah, saya dapat mengesan perkara itu lebih awal. Apa yang saya lakukan hanyalah menjauhkan diri daripada mereka kerana enggan menambahkan beban kehidupan sedia ada.

“Antara penganiayaan yang saya lalui adalah seperti isu tidak dibayar dan beberapa lagi. Benda itu bukan datang daripada orang yang saya tidak kenal, yang terdekat. Ketika itu saya berasa sangat terkilan,” katanya lagi.

Mengakui kelemahannya yang terlalu mudah percayakan orang sekeliling, pengalaman tersebut banyak mengubah dirinya terutama dalam cara menguruskan kerjaya dan urusan profesional.

“Kita tidak boleh elak orang mahu ambil kesempatan dekat kita. Kadang-kadang perkara itu berlaku di luar kawalan. Daripada pengalaman itu saya belajar untuk lebih menjaga diri sendiri.

“Mungkin silap saya sebab terlalu percayakan orang. Jika dahulu saya seorang yang terlalu lembut dan mudah bertolak ansur, kini saya lebih berhati-hati dalam membuat keputusan.

“Kalau ada sebarang masalah, saya lebih suka duduk berbincang dan cari jalan penyelesaian. Saya rasa dunia ini sudah terlalu banyak masalah. Saya tidak mampu untuk tambah musuh lagi dalam hidup,” katanya.

Tidak Pernah Menyesal Jadi Anak Seni

Walaupun berdepan pelbagai dugaan, penyanyi lagu Malam-Malam itu mengakui dia tidak pernah sekali pun menyesal memilih dunia seni sebagai jalan hidupnya.

Bagi Nuha, setiap kesilapan dan pengalaman pahit yang dilalui sebenarnya menjadi proses penting yang membentuk dirinya menjadi lebih kuat seperti hari ini.

“Saya rasa kalau setiap kegagalan dan pengalaman pahit itu tidak berlaku, mungkin saya takkan berada di sini hari ini. Pengalaman itu juga membuka mata saya untuk berasa tidak mengapa untuk gagal, sekurang-kurangnya kita sudah mencuba.

“Setelah enam tahun meniti perjalanan sebagai anak seni, apabila saya imbau kembali kenangan itu ia buat saya tertawa sendiri. Malah, perkara itu juga mematangkan diri saya kini,” katanya.

Berkongsi mengenai perancangan hidupnya sebagai penyanyi, Nuha memaklumkan dirinya kini sudah mula berjinak-jinak untuk menimba ilmu sebagai seorang komposer.

Katanya, dia sentiasa kagum melihat kebolehan rakan-rakan seperjuangannya yang mahir dalam penulisan lagu, malah perkara itu juga secara tidak langsung membantu meningkatkan populariti mereka.

“Saya mungkin tidak terlalu berbakat dalam penulisan, tapi saya percaya semua benda boleh belajar. Selagi saya masih mempunyai semangat dan cinta terhadap muzik, saya akan terus berusaha memberikan yang terbaik buat peminat dan akan terus bekerja keras,” katanya.

Ditanya sama ada dirinya cemburu melihat kejayaan rakan-rakan seperjuangannya yang sudah memiliki kedudukan yang kukuh dalam industri, Nuha mengakui dia tidak pernah menyimpan rasa iri hati terhadap mereka.

Sebaliknya, dia berasa bangga melihat kejayaan mereka kerana memahami betapa besar pengorbanan yang dilakukan untuk berada di tahap sekarang.

“Saya bangga dengan mereka sebab saya tahu betapa kerasnya mereka bekerja. Saya percaya rezeki setiap orang sudah ditentukan Tuhan.

“Jika mahu bercakap tentang populariti, saya juga pernah berada di kedudukan itu ketika lagu Casablanca itu meraih maklum balas yang positif. Jadi, apabila melihat orang lain berjaya, saya rasa macam saya pun mahu belajar menjadi lebih baik,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN