PETALING JAYA: Pelakon, Elfira Loy mengakui nasihat abangnya banyak mengubah cara dia melihat semangat kesukanan ketika bermain sukan.
Menurut Elfira atau Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 32, dia diingatkan supaya menghormati gaya permainan setiap pemain dan tidak terlalu beremosi ketika berada di gelanggang.
“Abang saya selalu mengingati saya, kalau terlibat dalam sukan, bawa semangat kesukanan itu.
“Hormati setiap gaya dan apa sahaja yang terjadi dalam gelanggang, biarkan di gelanggang sahaja,” katanya menerusi satu hantaran Threads miliknya.
Tambah Elfira, pemain juga tidak perlu mencetuskan drama ketika bermain.
“Tidak perlu untuk beremosi atau berdrama. Main sahaja,” ujarnya.
Elfira berkata, sejak menerima nasihat tersebut, dia berhenti terlalu memikirkan corak permainan pihak lawan.
“Saya berhenti memikirkan kenapa mereka bermain sebegitu. Tidak kisahlah apa pun strategi mereka, pada akhirnya itu semua sebahagian daripada permainan,” katanya.
Untuk rekod, Elfira Loy merupakan antara selebriti yang aktif bermain pickleball di bawah anjuran kelab tempatan, malah pernah bertanding dalam kategori Novice Women’s Doubles bagi sukan tersebut.









