PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah, Pierre Andre mengakui mungkin akan mempertimbangkan hasrat untuk berhenti menghasilkan filem seram sekiranya karya terbaharunya, Nar’sata: Sekutu Setan gagal mendapat sambutan penonton.
Muhammad Pierre Andre Nazrul Andre, 41, berkata, keputusan itu hadir selepas dia berdepan kekecewaan terhadap penerimaan filem Jangan Pandang Belakang 2 (JPB 2) dan Dajjal sebelum ini.
“Minta dijauhkan, sekiranya filem ini tidak pergi jauh, ini merupakan filem seram terakhir saya,” katanya ketika ditemui pada Malam Gala Filem Nar’sata: Sekutu Setan, semalam.
Tambah Pierre yang juga merupakan pengarah filem itu, dia masih terkesan dengan kecaman yang diterima selepas JPB 2 ditayangkan di pawagam.
“Bila JPB 2 keluar, memang teruk saya dikecam.
“Memang saya cakap, matilah. Saya terus fikir Dajjal mungkin akan menerima kecaman lebih teruk,” ujarnya.
Katanya, pengalaman tersebut membuatkan dia mula mengkaji kelemahan dalam filem arahannya.
“Saya kaji semula apa kekurangan yang boleh diperbaiki.
“Saya tengok banyak penonton kita tak suka jalan cerita yang perlahan, tak suka gambar gelap sangat dan tak suka kita guna asap.
“Saya suka konsep perlahan, tetapi penonton kita tidak suka,” ujarnya.
Jelas Pierre lagi, perubahan corak tontonan masyarakat di media sosial juga mempengaruhi citarasa penonton hari ini.
“Kita selalu tengok TikTok dan menatal dengan pantas. Fikiran kita sudah selesa dengan sesuatu yang pantas,” jelasnya.
Dalam masa sama, Pierre berkata, dia juga mengimpikan untuk menghasilkan filem yang mampu mencapai kutipan tinggi di pawagam.
“Sekiranya saya diberi pilihan sama ada menang pengarah terbaik atau mendapat kutipan mencecah RM10 juta, saya akan pilih kutipan RM10 juta itu,” katanya.
Bagaimanapun katanya, jika tidak lagi menghasilkan filem seram, dia mahu kembali kepada genre romantik komedi yang dianggap sebagai cinta pertamanya dalam dunia pengarahan.
“Kalau terhenti di situ, saya akan kembali kepada cinta pertama saya iaitu romantik komedi,” katanya.
Semalam, berlangsungnya Malam Gala Filem Nar’sata: Sekutu Setan yang akan ditayangkan pada 21 Mei 2026, menampilkan barisan pelakon seperti Trisha Ooi, Mawar Rashid, Khenobu, dan Fadlan Hazim.
Filem Nar’sata: Sekutu Setan mengisahkan tentang dendam kesumat seorang gadis bernama Balqis yang hidup dalam penderitaan dan pengkhianatan, lalu memilih jalan gelap dengan memuja iblis/setan untuk membalas dendam. – UTUSAN










