Jauh di sudut hati, saya juga ingin mencintai dan dicintai- Ezzanie Jasny - Utusan Malaysia

Jauh di sudut hati, saya juga ingin mencintai dan dicintai- Ezzanie Jasny

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Ezzanie Jasny mengakui dirinya mula berasa gusar apabila impian untuk mendirikan rumah tangga pada usia muda masih belum menjadi kenyataan meskipun kini sudah mencecah usia 27 tahun.

Menerusi satu hantaran di Threads, pelakon yang dikenali menerusi drama bersiri Seindah Hujan itu berkata, dia bagaimanapun tetap menjalani kehidupan seperti biasa dan cuba menerima setiap aturan yang telah ditentukan buat dirinya.

Menurut pemilik nama penuh Nur Ezzanie Sherazade Jasny itu, ada ketikanya perkara kecil seperti melihat kebahagiaan pasangan lain mampu menyentuh emosinya.

“Pada usia 27 tahun, saya masih belum mempunyai pasangan dan belum pasti tentang arah masa depan.

“Kebanyakan hari saya rasa baik sahaja, menjalani hidup mengikut rentak sendiri. Tetapi ada kalanya perkara kecil pun boleh mencetuskan emosi,” katanya.

Dalam pada itu, Ezzanie tidak menafikan jauh di sudut hati, dia masih menyimpan harapan untuk memiliki hubungan yang dipenuhi kasih sayang selain membina kehidupan bermakna bersama seseorang yang dicintai.

“Tengok pasangan lain bahagia dan membina kehidupan bersama membuatkan saya tersentuh. Itu juga yang selalu saya impikan.

“Jauh di sudut hati, saya masih menginginkan untuk mencintai dan dicintai serta memiliki sesuatu yang benar-benar bermakna.

“Cuma saya tidak pasti sama ada ia ditakdirkan untuk saya,” ujarnya.

Berkongsi lanjut, pelakon itu turut mendedahkan dia sebelum ini pernah merancang untuk berkahwin pada usia awal 20-an ketika masih bersama bekas kekasihnya.

Bagaimanapun, impian tersebut tidak kesampaian apabila hubungan mereka berakhir di tengah jalan.

“Dulu, ketika bersama bekas kekasih, saya merancang untuk berkahwin pada usia 22 atau 23 tahun, namun ia tidak menjadi.

“Kemudian, saya menetapkan sasaran pada usia 25 tahun, tetapi kini saya sudah pun berusia 27 tahun.

“Sedikit sebanyak perkara itu mula merisaukan,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN