PETALING JAYA: Pelakon dan usahawan, Syida Melvin berkongsi pesanan tentang pentingnya wanita menghargai diri sendiri dan tidak kekal dalam hubungan yang menyakitkan.
Syida atau Nur Syifa Athirah Amirol Melvin, 32, berkata, setiap wanita mempunyai pilihan dalam menentukan kebahagiaan hidup dan tidak seharusnya mengorbankan diri demi mempertahankan sesuatu yang hanya menyakitkan diri sendiri.
“Perempuan kepada perempuan. Hidup itu pilihan. Jangan memilih untuk terus bertahan dalam penderitaan,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Tambah adik kepada pelakon Syatilla Melvin itu, dia turut mengingatkan bahawa kebahagiaan tidak hanya bergantung kepada orang lain, sebaliknya bermula daripada kekuatan diri sendiri.
“Pilihlah utk menjadi wanita yang dihargai, dibahagiakan, dan diusahakan tanpa harus mengorbankan dirimu sendiri.
“Tapi ingat, kebahagiaan juga dimulai dari dirimu. Kamu harus terus kuat. Dan mampu berdiri di atas kaki sendiri,” katanya.
Terdahulu, peguam yang mewakili Syida mengesahkan pelakon itu telah memfailkan cerai terhadap suami, Syafiq Azim, di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor pada Disember lalu.
Meskipun sebelum ini perbicaraan kes pernah ditangguhkan berikutan ada usaha pendamaian di antara mereka, namun, peguam memaklumkan bahawa Syida nekad untuk meneruskan perceraian.
Sekadar rekod, Syida mendirikan rumah tangga dengan Mohamad Syafiq Azim Shaheen, 37, pada 19 Januari 2019.










