KUALA LUMPUR: Pelakon, Eyka Farhana berkongsi khabar gembira apabila selamat melahirkan cahaya mata sulung lelaki pada 16 Mei lalu di sebuah pusat perubatan.
Menerusi perkongsian di media sosial, pelakon itu meluahkan rasa syukur kerana proses kelahiran bayinya berjalan lancar secara normal.
“Masya-Allah Tabarakallah, detik paling indah dalam hidup saya berlaku pada 16 Mei 2026. Alhamdulillah, bayi kami selamat dilahirkan secara normal,” katanya.
Menurut Eyka, segala kesakitan yang dialami sepanjang proses bersalin hilang sebaik sahaja melihat wajah putera sulungnya itu.
Dalam masa sama, beliau turut mendedahkan nama penuh bayi lelaki berkenaan iaitu Muhammad Luay Khayr Muhammad Akhyar.
“Semua kesakitan hilang apabila mama melihat wajah kecilmu, sayang. Selamat datang ke dunia, wira kecil mama, Muhammad Luay Khayr Muhammad Akhyar.
“Kamu sangat disayangi, amat berharga dan kini menjadi bahagian terbesar dalam hati kami. Kami menyayangimu lebih daripada apa yang mampu diungkapkan dengan kata-kata,” katanya lagi.
Untuk rekod, Eyka mendirikan rumah tangga dengan pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid pada 2 Mei 2025.









