KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ernie Zakri memilih untuk terus positif berdepan pelbagai pandangan netizen termasuk dakwaan kononnya dirinya sudah hilang aura dan tidak lagi memiliki ‘kelas’ selepas berkahwin.
Menurut penyanyi berusia 34 tahun itu, dia kini lebih selesa menjalani kehidupan secara sederhana dan menjadi dirinya sendiri tanpa perlu memuaskan hati semua pihak.
Katanya, apa sahaja yang dilakukan pasti akan mengundang kritikan termasuk soal kehidupan peribadi dan kerjaya seni.
“Netizen boleh kata apa mereka suka. Saya gembira dengan apa yang saya ada. Kadang-kadang kalau kita kahwin ada isu, tak kahwin pun tetap ada isu.
“Sekarang ini saya hanya hidup seperti biasa dengan bahagia. Saya tonjolkan diri sebenar dan tidak cuba menjadi orang lain.
“Ada yang suka dan ada yang tidak suka, itu perkara biasa. Selagi keluarga tahu saya masih menjaga batas, itu sudah memadai,” katanya.
Ernie berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu Tak Berlagu, runut bunyi original (OST) drama Khadam di Serai Hall, KLGCC Mall, Bukit Kiara, semalam.
Dalam pada itu, Ernie mengakui ada komen negatif yang sedikit sebanyak mengguris perasaannya, namun enggan terlalu memikirkan perkara tersebut.
Sebaliknya, dia menjadikan setiap kritikan sebagai pembakar semangat untuk terus memperbaiki diri dalam industri seni.
“Saya manusia biasa. Bila baca komen netizen memang ada terasa dengan beberapa perkataan, tetapi saya cuba untuk tidak ambil hati. Kalau tidak memang boleh jadi tekanan.
“Dalam masa sama saya bersyukur kerana orang masih melihat saya sebagai penyanyi dan masih mahu mendengar saya menyanyi walaupun saya terlibat dengan perkara lain.
“Bagi saya, itu tanda peminat masih sayang dan ambil berat terhadap Ernie Zakri,” ujarnya.
Menurut Ernie lagi, dia sentiasa mengambil serius pandangan peminat terutama melibatkan perjalanan kerjaya dan hala tuju muziknya.
“Ada input yang baik saya ambil dan bincang dengan pasukan tentang apa yang peminat mahukan.
“Apa sahaja yang saya baca di Threads, saya jadikan bahan perbincangan. Saya tidak pandang ringan perkara itu.
“Saya masih berada dalam industri ini pun kerana sokongan peminat. Kalau mereka tidak beri perhatian, mungkin lagu baharu saya pun orang tidak mahu dengar,” katanya.
Sebelum ini, seorang pengguna Threads mencadangkan agar Ernie memperkemaskan diskografi muzik terkininya yang didakwa agak ‘berselerak’ selain lebih memberi fokus kepada arah tuju album baharu.
Perkongsian itu kemudian mencetuskan pelbagai reaksi pengguna media sosial lain yang mendakwa kerjaya penyanyi tersebut dilihat semakin ‘serabut’ selepas mendirikan rumah tangga.










