Nampaknya, Zul Yahya kembali menjadi bualan hangat apabila pelakon itu dikatakan semakin sukar didekati, malah ada yang mendakwa setiap pelawaan temu bual diterima dengan penolakan ‘mentah-mentah’, kenapa agaknya?
Cik Bunga pun ada terdengar cerita daripada beberapa rakan industri yang pelik dengan perubahan sikap Zul sekarang.
Bukan apa, ramai sebenarnya mahu membantu dan memberi ruang kepadanya berkongsi perkembangan terkini, lebih-lebih lagi selepas timbul khabar mengatakan dia sedang berdepan ujian hidup dan cabaran dalam perniagaan.
Kalau ikutkan, sebelum ini Zul sendiri pernah beberapa kali berkongsi luahan di media sosial, terutama ketika membuat sesi ‘live’. Ada masa nampak tenang, ada masa pula seperti menyimpan beban yang berat. Jadi, apabila orang media cuba hulur ruang untuk dia bercerita dengan lebih jelas, tiba-tiba terus mengelak pula.
Itulah yang buat ramai tertanya-tanya. Ada yang kata mungkin dia sudah penat dengan dunia glamor dan tidak mahu lagi kisah peribadi dijadikan bahan berita.
Biasalah, bila buka mulut sedikit, nanti macam-macam versi keluar. Tapi ada juga yang berbisik mengatakan mungkin ada sesuatu yang cuba disimpan rapi.
Betul ke? Cik Bunga tidak berani hendak kata lebih-lebih. Cuma bila seseorang terlalu berhati-hati sampai semua pelawaan ditolak, mestilah orang mula berfikir macam-macam.
Tambahan pula, sebelum ini dia sendiri yang berkongsi tentang cabaran hidup di media sosial. Jadi, apabila orang mahu bertanya khabar dan beri peluang menjelaskan keadaan sebenar, kenapa pula terus ‘mengunci mulut’?
Mungkin Zul ada alasan tersendiri. Mungkin dia mahu fokus menyelesaikan urusan peribadi tanpa gangguan. Atau mungkin juga dia sudah serik dengan kecaman netizen yang pantang nampak ruang, terus menghukum.
Apa pun, Cik Bunga harap jika benar Zul sedang melalui fasa sukar, semoga semuanya dipermudahkan. Kadang-kadang orang luar cuma nampak luaran, tapi yang memikul beban hanya tuan empunya badan saja yang tahu.










