Tidak sempat pun nak menangis, Mimi Fly akui bahagia hidup solo - Utusan Malaysia

Tidak sempat pun nak menangis, Mimi Fly akui bahagia hidup solo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penyanyi versatil, Mimi Fly mengakui dirinya kini berada dalam fasa kehidupan yang jauh lebih tenang dan stabil meskipun sudah hampir dua tahun menjalani kehidupan solo selepas berpisah dengan bekas suami.

Menurut Mimi atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham, status solo bukan lagi sesuatu yang membebankan, sebaliknya memberi ruang untuknya membina kehidupan sendiri dengan lebih bermakna dan tersusun.

“Hampir dua tahun, dalam setahun setengah macam itu saya solo. Tapi saya memang loving it. Saya enjoy sebenarnya jadi single waktu ini sebab saya rasa saya dapat cipta kehidupan saya sendiri. Masa, tenaga saya, semuanya saya gunakan untuk perkara yang buat diri gembira, keluarga pun gembira, kawan-kawan pun okey.Saya rasa macam ada makna, ada misi dalam hidup,” katanya.

Tambah penyanyi lagu Angkat dan Serumpun ini, kesibukan kerjaya menjadi ‘penawar’ terbaik sehingga dia langsung tidak mempunyai ruang untuk meratapi kesedihan, termasuk ketika momen yang sering dikaitkan dengan emosi seperti Aidilfitri.

“Kalau tanya pasal raya pun, memang saya penat sangat. Saya ini anak perempuan sulung, jadi semua benda saya buat, baik beli barang dapur, masak, potong bawang, gosok baju, pergi bank tukar duit raya. Jadi untuk menangis pun memang tak sempat, memang tak sempat langsung. Tapi bagi saya itu satu perkara yang baik.

“Bila kita sibuk dengan benda yang beri manfaat, kita tak ada ruang untuk rasa sedih yang melampau. Saya rasa itu antara nikmat yang Tuhan susun untuk saya,” ujarnya jujur.

Mengulas lanjut, Mimi menegaskan bahawa dia tidak pernah berasa sunyi walaupun hidup tanpa pasangan, kerana pengalaman hidup telah mengajarnya untuk lebih menghargai apa yang dimiliki berbanding memikirkan kekurangan.

“Saya rasa pengalaman dah mengajar saya untuk cari benda positif yang saya ada dan bersyukur dengan apa yang saya miliki sekarang daripada fikirkan apa yang saya tak ada. Jadi saya tak rasa sunyi pun. Jiwa saya lebih tenang, lebih stabil, tak ada turun naik emosi yang melampau.

“Dia bukan macam roller coaster sangat, dia macam naik sampan saja. Stabil, tenang, dan itu buat saya lebih fokus untuk kerja dan teruskan kehidupan dengan lebih baik,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Mimi turut melihat perubahan zaman sebagai faktor yang membentuk cara wanita masa kini menilai kebahagiaan dan kejayaan hidup.

“Mungkin dulu definisi bahagia itu berbeza, tapi sekarang wanita ada pilihan. Kita boleh berjaya, boleh berdikari, boleh bina kehidupan sendiri. Bagi saya, sama ada ada pasangan atau tidak, itu bukan penentu utama.

“Yang penting adalah bagaimana kita rasa tentang diri kita sendiri dan apa yang kita bina dalam hidup ini. Saya sekarang di fasa yang saya boleh kata saya okey, saya stabil, saya gembira dan saya bersyukur,” jelasnya.

Kolaborasi bersama Nourul Depp

Dalam perkembangan lain, Mimi turut meluahkan keterujaannya apabila diberi peluang bekerjasama dengan penyanyi senior, Nourul Depp menerusi sebuah konsert yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Menurutnya, pelawaan tersebut disambut dengan penuh terbuka kerana dia sendiri membesar dengan lagu-lagu Nourul dan mengagumi figura berkenaan bukan sahaja sebagai penyanyi, malah sebagai individu yang banyak memberi inspirasi.

“Bila Kak Nourul hubungi saya dan minta saya beri sokongan untuk konsert dia, saya terus cakap okay sebab saya memang sayang dia. Dari kecil memang saya dengar lagu-lagu dia, jadi bila ada peluang macam ini, memang saya teruja.

“Dia bukan saja seorang penyanyi, tapi bagi saya dia macam life coach. Dia faham apa yang kita lalui sebagai artis, dia akan datang beri kata-kata semangat tanpa kita minta. Sokongan daripada artis senior macam itu sangat comforting untuk saya,” katanya.

Tambah Mimi, kolaborasi tersebut juga membuka ruang untuknya terus berkembang sebagai artis dengan meneroka bunyi dan gaya baharu tanpa meninggalkan identitinya sendiri.

“Saya dah 18 tahun dalam industri, jadi saya sentiasa cuba kekalkan identiti saya, tapi dalam masa sama saya nak berkembang. Bila berkolaborasi dengan artis lain, itu satu cabaran yang sihat untuk saya.

“Saya nak bawa energi saya sendiri dalam konsert itu, bukan tiru sesiapa. Itu yang buat saya lebih teruja sebab saya boleh belajar dan dalam masa sama perkenalkan ‘sound’ saya kepada penonton,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN