The Other Bennet Sister: Tidak semua perempuan perlukan lelaki - Utusan Malaysia

The Other Bennet Sister: Tidak semua perempuan perlukan lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Perkahwinan adalah satu-satunya cara untuk wanita bertahan dalam hidup,”

Kata Mary Bannet kepada Ryder dalam sebuah majlis tari-menari. Lelaki itu berkerut dahi, memang susah untuk seseorang memahami kegelisahan yang ada dalam diri seorang perempuan dalam sistem struktur sosial pada abad ke-19 di Eropah.

Perempuan tidak mudah untuk menerima akses pendidikan, sukar memiliki, mewarisi harta membuatkan mereka fikir, penentu sama ada hidupnya akan terumbang-ambing atau tidak, terletak kepada lelaki. Perkahwinan tidak hanya tentang soal jatuh cinta, tapi percaturan hidup, sebuah pasaran untuk ‘menjual’ diri agar disunting mana-mana lelaki.

Rasa cemas itu kita sedari dari awal sejak The Other Bennet Sister (TOBS) dibuka, apa lagi Mrs Bennet mempunyai lima anak perempuan. Kegelisahan menjadi perempuan tidak hanya meracun dalam diri individu, tapi juga ditanggung oleh ibu yang melahirkan sepanjang hayatnya.

Ada obsesi dalam diri Bennet untuk melihat anak-anaknya berkahwin segera, berjaya memenangi hati mana-mana lelaki di majlis tari-menari dengan harapan rasa bersalah melahirkan anak perempuan akan diampunkan.

Bayangkan, jika rasa terdesak begini sudah mengakar kuat dalam sebuah keluarga yang kita anggap berada di era itu, entah bagaimana pula orang yang hidupnya kais pagi makan pagi untuk bersaing dalam pasaran perkahwinan yang sempit dan rapuh itu.

TOBS merupakan siri drama yang membawa keluar suara Mary Bennet, anak tengah daripada lima beradik Bennet dalam novel Pride and Prejudice (Jane Austen). TOBS merupakan drama bersiri yang sedang hangat diperkatakan adaptasi daripada novel tulisan Janice Hadlow tentang perjalanan Mary, seorang yang paling pelik dalam adik-beradik karya klasik popular itu.

Sepanjang 10 episod bersiaran, kita akan duduk di kasut seorang Mary yang sedang bercerita apa yang dihadapinya setiap hari apabila selalu dibandingkan dengan adik-beradiknya yang jauh lebih cantik, patuh, ceria, berbakat, periang – kualiti yang dimahukan lelaki sebagai komoditi dalam pasaran perkahwinan.

Sementara Mary, dianggap paling hodoh, membosankan kerana lebih gemar memainkan lagu sedih di piano dan masanya dihabiskan dengan membaca.

Bagi Bennet, sejak Mary lahir, dia hanya membawa kesialan buat keluarga. Mary dibesarkan dengan kata-kata hina ibunya, membuatkan dia percaya bahawa seluruh keputusan hidup ditentukan dengan sejauh mana dia boleh membuat ibunya gembira. Sebuah pengabaian emosi atau emotional neglect yang dirasakan sangat kuat oleh Mary yang juga anak tengah membuatnya mula merasakan dirinya tidak cukup.

“Cubalah awak keluar, dan lihat bagaimana dunia di luar daripada keluarga awak,” kata seorang tukang gaji, momen penting yang merubah kehidupan Mary selepas itu.

Sepanjang menetap di London, Mary perlahan-lahan dapat mengasingkan mana satu suara ibunya, juga mana satu suara hatinya. Daripada ‘ingin jadi seperti kakak’, kepada apa yang betul-betul dimahukan.

Daripada dipilih oleh lelaki, kepada lelaki mana satu yang akan dipilih. Hanya dengan mempercayai kebolehan diri sendiri dan keberanian untuk berjalan menimba pengalaman baru, akhirnya Mary menemui tempat yang meraikan wanita cerdik sepertinya dengan tangan terbuka seperti keluarga Gardiner.

TOBS tidaklah mempunyai konflik yang meledak dan dramatik, tapi cukup menangkap kerana setiap karakter yang solid dipersembahkan dalam setiap episod. Walaupun saya kurang bersetuju Mary akhirnya memilih lelaki yang tidak kuat memperjuangkan cinta dalam hidup, tapi setidaknya Hayward adalah orang pertama yang melihat keanehan Mary sebagai keunikan.

Juga Hayward faham, Mary tidak memilihnya kerana wanita itu mahu bergantung hidup dengannya, tapi kerana keikhlasan, sikapnya yang bekerja keras juga dalamnya dia mencintai Mary seperti mana dia mencintai puisi, gunung dan lautan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN