Sebelum munculnya puluhan kumpulan pelawak hari ini, Senario adalah antara pelopornya. Zaman kegemilangan mereka pada awal 90-an bukan sekadar mendominasi dunia hiburan tanah air, tetapi berjaya memahatkan nama sebagai sebuah kumpulan yang cukup kreatif terutamanya dalam bidang lakonan dan nyanyian.
Ditubuhkan menerusi gabungan beberapa peserta daripada program realiti Sinaran Pasport Kegemilangan, kumpulan legenda komedi itu yang kini dianggotai Azlee Jaafar, Wahid, Lan Pet Pet, Ilya Buang, Saiful Apek dan Yassin Yahya dilihat berjaya mengumpul jutaan peminat dan kekal relevan sehingga kini.
Meskipun sudah bertaraf ‘otai’ dan jarang muncul dengan produk terbaharu, mereka masih punya kekuatan. Buktinya apabila kumpulan ini bakal tampil bagi menjayakan konsert berskala mega, The Last Kopek: SenarioUnion 30 Tahun yang akan berlangsung pada 25 April ini.
Bertempat di Idea Live Arena Petaling Jaya, Senario tekad untuk memberikan persembahan terbaik mereka buat peminat yang masih kekal menyokong perjuangan mereka selama ini.
Mengulas persiapan akhir ketika ini, Azlee memberitahu, segala persiapan berjalan lancar dan diperkemaskan dengan rapi cuma ada beberapa isu teknikal yang perlu diberi perhatian untuk memastikan perjalanan konsert tersebut menjadi lancar dan sempurna.
Menurutnya, dia sendiri tidak menduga apabila mendapat maklumat jualan tiket begitu menggalakkan sehingga memaksa penambahan ruang baharu bagi menempatkan 200 penonton lagi.
“Saya difahamkan sudah lebih 85 peratus tiket konsert sudah terjual, malah di saat akhir ini masih terdapat permintaan sehinggakan pihak penganjur terpaksa menambah kategori baharu pada hari raya ke empat lalu. Alhamdulilah mungkin ini rezeki kami agaknya, dan saya amat berterima kasih kepada peminat yang terus menyokong Senario,” katanya.
Wahid juga tidak terkecuali berasa terkejut dengan sambutan peminat yang di luar jangkaan. Dia tidak menyangka Senario masih bertapak di hati peminat walaupun sudah lama tidak aktif kerana sibuk dengan tugas masing-masing.
“Pada mulanya rasa cuak juga bila dapat tawaran sebegini, Saya terfikir adakah orang mahu tengok Senario lagi? Sedangkan zaman kegemilangan kami sudah berlalu. Tetapi bila dapat tahu tiket laris macam goreng pisang panas, saya rasa terharu, rupanya peminat masih rindu dengan kemunculan kami.

Bergaduh macam adik-beradik
“Konsert The Last Kopek: SenarioUnion 30 Tahun adalah hadiah istimewa buat peminat tegar yang masih setia menyokong perjuangan Senario dari mula bertapak sehinggalah hari ini,” ujarnya.
Menyingkap persembahan terutamanya dari sudut pemilihan lagu yang bakal dipersembahkan, mereka memberitahu, sudah lebih 20 lagu disenarai pendek mengikut permintaan dan cadangan daripada peminat.
Menurut Lan Pet-Pet, lagu yang bakal dipersembahkan adalah karya hits yang pernah melonjakkan nama Senario, malah lagu-lagu yang didendangkan pastinya akan menggamit memori peminat terutamanya yang mengikuti perjalanan Senario satu ketika dahulu.
“Setakat ini lagu-lagu yang dipilih adalah karya yang cukup melekat di hati peminat. Saya yakin semua yang datang nanti akan enjoy dan boleh ‘sing a long’ bersama kami.
“Namun ada juga peminat yang hubungi kami minta bawakan lagu yang jarang Senario dendangkan sebelum ini, dan semuanya kami ambil maklum dan insya-Allah boleh tunaikan.
“Ini adalah pentas besar untuk Senario, selepas ini tak pasti akan ada lagi atau tidak, jadi kami harap semua peminat dapat hadir ke konsert ini. Kita berhibur bersama untuk mengimbau semula memori lama,” katanya.
Ketika diajukan pertanyaan tentang keserasian antara ahli yang sebelum ini pernah menjadi kontroversi, Yassin menegaskan ia adalah perkara biasa dan lumrah bagi sesebuah kumpulan, tetapi mengakui hubungan sesama mereka kekal utuh hasil sifat saling menghormati antara satu sama lain, keberanian mengakui kesilapan serta memberi ruang kepada setiap individu untuk membaiki
“Sedangkan lidah lagi tergigit. Kami masih saling menghormati antara satu sama lain. Anggota Senario sudah macam adik beradik, hari ini bergaduh bermasam muka, tapi esok lusa sudah boleh bergelak ketawa, itulah kunci kekuatan Senario,” ujarnya.
Tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang. Namun mereka berusaha memberikan yang terbaik untuk tatapan peminat pada malam konsert nanti. Persediaan itu bukan sekadar latihan rutin, tetapi menuntut stamina, komitmen dan kesepakatan antara ahli SenarioUnion memandangkan mereka bakal menghiburkan penonton selama lebih dua jam.
Bagi Saiful Apek pula, konsert itu bukan sekadar menampilkan elemen jenaka dan nostalgia, tetapi turut menekankan disiplin latihan serta mutu vokal supaya peminat berpuas hati dengan keseluruhan persembahan.
“Kami kena kumpul semangat dan tenaga sebab konsert ini bukan sekejap.

Hadiah istimewa untuk peminat
Ditambah dengan usia kami yang rata-ratanya sudah bergelar ‘otai’, bukan mudah untuk sustain atas pentas dalam tempoh yang panjang,” katanya
Senario ditubuhkan kira-kira tiga dekad lalu sejak awal 90-an terdiri daripada alumni peserta program realiti popular, Sinaran Pasport Kegemilangan yang diterbitkan ketika itu.
Selepas hampir tiga dekad memeriahkan dunia lawak tanah air, kumpulan legenda ini bakal kembali menggegarkan pentas melalui Konsert The Last Kopek: SenarioUnion 30 Tahun yang dijadualkan berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 25 April ini.
Konsert berskala mega anjuran Dreamscape Events dan Kapla Entertainment itu adalah hadiah istimewa buat peminat setia mereka bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-30 penubuhan Senario.
Konsert The Last Kopek: SenarioUnion 30 Tahun akan menampilkan beberapa orang artis undangan, persembahan nyanyian dan lawak jenaka dengan iringan tujuh pemuzik serta tiga pemain horn dan akordion, manakala susunan muzik baharu yang lebih segar akan diketuai Chaan & The Leman Band selaku pengarah muzik.
Tiket berharga RM138 hingga RM488 sudah mula dijual menerusi www.ilassotickets.com/Senariounion atau www.fantopia.io bermula 15 Disember tahun lalu.










