Hakikatnya, dalam dunia glamor yang sering dikaitkan dengan populariti dan kemewahan, tidak ramai yang benar-benar memahami harga yang perlu dibayar untuk kekal berdiri selama tiga dekad.
Hal itu diakui sendiri oleh penyanyi, Nourul Depp, yang mana, baginya, perjalanan 30 tahun dalam industri seni bukan sekadar tentang bakat dan populariti, tetapi sebuah kisah panjang tentang ujian kehidupan yang datang silih berganti dan menguji hati.
Baik ujian daripada segi prinsip, seputar kehidupannya juga memiliki cabaran yang menguji kekuatan diri sebagai seorang wanita, isteri dan ibu.
Nourul tidak menafikan, laluan yang dilaluinya jauh daripada mudah. Malah, setiap fasa kehidupan yang dilalui hadir dengan cabaran yang kadangkala memaksa dirinya jatuh, sebelum bangkit semula dengan jiwa yang lebih kuat.
“Orang nampak kita di atas pentas, nampak kita berjaya, tapi mereka tidak nampak apa yang kita lalui di belakang. Setiap keputusan yang saya buat dalam hidup ini, semuanya datang bersama rasa takut.
“Saya manusia biasa, saya fikir tentang duit, saya fikir tentang risiko, saya fikir tentang kemungkinan gagal. Itu semua bermain dalam kepala saya terlebih dahulu sebelum saya melangkah,” luahnya.
Menurut Nourul, ujian dalam kehidupan bukan sekadar dalam bentuk kesukaran luaran, tetapi juga dalam bentuk pergolakan dalaman yang memerlukan kekuatan mental dan spiritual tinggi untuk diharungi.
“Sebenarnya ujian paling besar bukan pada apa yang berlaku di luar, tetapi apa yang berlaku dalam diri kita sendiri. Ketakutan, keraguan, rasa tidak cukup, itu semua ujian. Kalau kita tidak kuat dari dalam, kita akan kalah sebelum sempat mencuba.
“Macam apa yang sedang saya lalui sekarang. Ketika saya merangka usaha untuk menganjurkan konsert sendiri, bagi saya ia satu keputusan yang menuntut komitmen besar dari segi kewangan dan emosi.
“Saya tidak nafikan, saya gunakan duit sendiri. Saya keluarkan simpanan, ambil risiko. Ada orang tanya, tak takut ke? Mestilah takut. Tapi saya sampai satu tahap, saya kata pada diri sendiri, kalau bukan sekarang, bila lagi? Saya tidak mahu hidup dengan penyesalan,” katanya yang akan melakukan konsert For You Nourul di Zepp Kuala Lumpur pada 30 Mei ini.
Tambah Nourul, dalam tempoh yang sama, dia turut menerima tawaran besar daripada pihak lain yang sanggup menanggung segala kos sekiranya dia membatalkan konsert tersebut.

“Bayangkan, ada tawaran yang sangat besar, syarikat besar, nilai pun bukan kecil. Mereka kata, ‘batalkan konsert, kami bayar semuanya.’ Kalau saya tiada prinsip, mungkin saya akan goyah.
“Tapi saya fikir, saya sudah mula perjalanan ini. Saya ada pasukan, saya ada peminat yang percaya. Saya tak boleh khianati kepercayaan itu,” ujarnya tegas.
Luka dan sayang seorang ibu
Bagaimanapun, di sebalik segala yang berlaku, ujian paling menyentuh hati Nourul bukanlah berkaitan kerjaya, tetapi melibatkan keluarga, khususnya hubungan dengan anak perempuannya, Ayu Nazirah.
Sebagai seorang ibu, Nourul mengakui bahawa situasi tersebut merupakan antara ujian paling berat yang pernah dilalui dalam hidupnya.
“Kalau bercakap tentang anak, itu memang bahagian paling dalam dalam hati seorang ibu. Saya sayang anak saya, tidak pernah berubah walau apa pun yang berlaku.
“Tapi dalam kehidupan ini, kita kena terima bahawa anak-anak juga ada perjalanan mereka sendiri,” katanya dengan nada yang tenang namun sarat emosi.
Kata Nourul, dia memilih untuk tidak memaksa keadaan, sebaliknya memberi ruang kepada anaknya untuk mencari arah sendiri.
“Saya pernah tanya diri saya, adakah saya sudah buat yang terbaik sebagai ibu? Jawapannya, ya. Saya dah beri kasih sayang, saya dah beri didikan. Jadi sekarang, saya serahkan kepada Allah.
“Ada perkara yang kalau kita paksa, ia akan jadi lebih buruk. Jadi saya memilih untuk lepaskan dengan doa. Hal ini mengajar saya tentang erti sebenar kasih sayang yang bukan hanya tentang memiliki, tetapi juga tentang melepaskan dengan penuh keikhlasan. Ada waktu saya balas mesej, ada waktu saya diam. Bukan sebab saya tak peduli, tetapi sebab saya faham, kadang-kadang diam itu lebih baik.
“Saya beri dia ruang untuk belajar tentang hidup, seperti mana saya juga pernah melalui proses itu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Nourul turut berkongsi pengalaman berdepan isu kesihatan yang pernah dialaminya, termasuk situasi pra-kanser yang membuka matanya tentang kepentingan menjaga kesejahteraan diri.
“Saya pernah melalui fasa di mana kesihatan saya terjejas. Dari situ saya sedar, stres ini bukan perkara kecil. Ia boleh membawa kepada penyakit. Jadi saya belajar untuk jaga diri saya dari aspek emosi, mental dan fizikal,” katanya.
Menurutnya, ujian kesihatan tersebut menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya, sekali gus mengubah caranya melihat kehidupan.
“Apabila kita diuji dengan kesihatan, kita akan nampak betapa kecilnya perkara lain. Duit boleh dicari, kejayaan boleh dikejar, tapi kalau kesihatan tiada, semuanya tak bermakna,” ujarnya.

Pengorbanan dan kesabaran
Sementara itu, kongsi Nourul, sepanjang 30 tahun dalam industri, Nourul mengakui bahawa pengorbanan adalah perkara yang tidak dapat dielakkan.
Namun, dia memilih untuk tidak menjadikan pengorbanan itu sebagai sesuatu yang perlu dibanggakan, sebaliknya sebagai proses pembelajaran.
“Semua orang berkorban dalam hidup ini. Bezanya, ada yang cerita dan ada yang simpan. Saya memilih untuk simpan, kerana bagi saya, setiap pengorbanan itu antara saya dengan Tuhan.
“Kalau kita buat sesuatu kerana Allah, kita tak akan rasa rugi. Walaupun orang tak hargai, kita tahu Tuhan nampak. Itu sudah cukup untuk saya.
“Bahkan saya juga percaya, setiap ujian itu datang untuk menaikkan level kita. Tuhan tidak uji kita tanpa sebab. Dia tahu kita mampu.
“Jadi saya pilih untuk terus berjalan, walaupun perlahan, asalkan saya tidak berhenti,” katanya.










