STRATEGI ‘menjodohkan’ pelakon lelaki dan perempuan merupakan kaedah yang sampai sekarang ini masih digunakan segelintir penerbit untuk melariskan drama terbitan mereka.
Apa yang membuatkan cara itu terus digunapakai adalah kerana keberkesanannya yang mampu menarik penonton mengikuti sehingga tamat sesebuah drama tersebut.
Pelakon cantik Erysha Emyra, 26, bagaimanapun bersyukur kerana tidak pernah diperalatkan mana-mana penerbit sejak menceburi bidang lakonan bermula empat tahun lalu.
Tidak menjatuh hukum kepada mana-mana pihak, Erysha tidak rela menjadi boneka dalam wayang yang diada-adakan.
“Saya tidaklah menolak perkara itu, ia lumrah industri drama dan perfileman. Samalah halnya apabila kita menonton drama Korea atau filem Barat, pastinya kita pun kadang kala menginginkan hero dan heroin itu benar-benar bercinta.
“Tapi setakat ini Alhamdulillah, saya tak pernah pula diminta pengarah atau penerbit untuk bermain wayang, pura-pura bercinta dengan hero yang bergandingan dengan saya demi menarik penonton drama kami.
“Apa yang ditunjukkan, segala kandungan bersama hero drama yang kami lakukan di media sosial bukan perkara yang dibuat-buat atau lakonan, apa yang anda tengok di media sosial, itulah saya,” katanya.
Erysha dalam pada itu tenang apabila sering ‘dijodohkan’ peminat dengan pelakon lelaki yang pernah bergandingan dengannya dalam drama lakonannya sebelum ini.
Mengulas mengenai situasi tersebut, anak pelakon Noniswara Baharudin ini berkata dia hanya menganggap isu itu sekadar usikan peminat yang mungkin ingin melihat artis kegemaran mereka bahagia.
“Bukan sesuatu yang pelik kalau pasangan dalam drama dijodohkan. Biasanya, peminat kalau suka melihat pasangan itu berlakon bersama, mereka mungkin berharap pelakon-pelakon itu bercinta di luar drama.
“Saya tidak terkecuali berdepan situasi ini, malah peminat sebelum ini pernah juga padankan saya dengan pelakon lelaki yang pernah bekerja dengan saya sebelum ini.
“Dan saya pun tidak perlulah rasa tersinggung atau hairan dengan keadaan ini. Malah, realitinya, apabila dua pelakon bekerja bersama, berkampung di set penggambaran untuk tempoh yang agak lama, pasti perhubungan itu akan menjadi akrab.
“Keadaan ini berlaku di mana sahaja. Contoh di pejabat, pastinya hubungan sesama rakan sekerja akan menjadi baik kerana banyak masa dihabiskan bersama. Situasi ini normal,” ujarnya.

Bercakap tentang khabar angin percintaan dengan anggota kumpulan Alpha, Ariel Fesol, Erysha, yang tidak menafikan atau mengiyakan desas desus tersebut, sekadar menganggap penyanyi itu sebagai teman rapatnya.
“Saya selesa berkawan dengan Ariel. Dia lelaki yang baik, hormat orang, ramah dan pandai bergaul di set penggambaran. Bagi saya dia memiliki sikap yang bagus.
“Dan jangan terkejut apabila ada juga peminat yang tidak suka kami ini dipadan-padankan. Kami pun tak mampu puaskan hati semua orang,” katanya.
Diusik tentang perancangan menamatkan zaman bujang, ujar pelakon berusia 26 tahun itu dia belum bersedia mendirikan rumah tangga dan hanya akan merancang sebaik bertemu pasangan yang sesuai.
“Itu soalan yang biasa saya terima. Sering diajukan oleh mereka yang lebih berusia. Saya tidak sedikit pun terasa hati malah saya faham Mungkin yang bertanya itu cuma ingin berbual kosong kerana lama tak berjumpa.
“Ibu bapa saya pun tidak pernah desak saya segera berkahwin. Mereka beri kebebasan kepada saya untuk membuat keputusan. Bila sudah bersedia, kahwinlah saya nanti.
“Saya pun sudah cukup matang untuk susun perancangan hidup, jadi soalan mengenai jodoh ini, walaupun belum ada jawapannya, saya tetap layan dan jawab dengan baik,” katanya.
Dalam perbualan sama, Erysha juga berkongsi mengenai perkembangan terkininya yang sedang berjinak-jinak dengan perniagaan tudung jenama sendiri iaitu Eyre.
Katanya, pembabitan dalam bidang keusahawanan membuka ruang pembelajaran yang meluas tentang selok belok perniagaan.
“Saya sangat pentingkan kualiti. Tapi bila sudah jadi pengeluar tudung, barulah saya tahu bukan mudah untuk hasilkan produk yang betul-betul berkualiti.
“Ada masanya, apabila disemak, ada tudung yang tidak memenuhi standard kualiti yang saya letakkan. Tapi saya anggap itu sebahagian proses pembelajaran selok belok dunia perniagaan tudung,” jelasnya.










