Pertaruhkan bakat, saya bukan jenis ‘jilat’ orang di set - Akmal Asyraf - Utusan Malaysia

Pertaruhkan bakat, saya bukan jenis ‘jilat’ orang di set – Akmal Asyraf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN bukanlah menyandang karakter utama dalam filem Malaikat Malam, namun pesona pelakon, Akmal Asyraf, 30, sebagai Kutu dalam naskhah itu menembus keluar layar.

Sosoknya masih baharu dalam radar industri seni tempatan. Namun perjalanan yang dilaluinya membuktikan anak muda asal Kuala Lumpur ini bukan sekadar mencuba nasib. Sebaliknya penuh semangat, disiplin dan cinta mendalam terhadap dunia lakonan.

“Sejak sekolah menengah lagi saya memang minat berlakon. Saya terlibat dengan teater dan juga drama bahasa Inggeris.

“Ketika melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM), saya masih aktif dalam teater dan juga berjinak-jinak dalam bidang muzik,” katanya kepada Pancaindera.

Langkah pertama dalam dunia profesional bermula apabila dia terlibat sebagai pelakon dalam iklan raya sebuah jenama minuman tempatan. Dari situ, perjalanan seni Akmal mula bergerak secara lebih serius.

Kesungguhan itu membuka ruang kepada beberapa peluang lain apabila dia mula muncul dalam projek seperti Sheriff dan Special Force: Anarchy sebagai pelakon pembantu.

Namun, seperti kebanyakan anak seni yang sedang membina nama, perjalanan tersebut tidak sunyi daripada rasa kecewa apabila tidak lolos daripada lambakan uji bakat.

“Saya pernah pergi puluhan sesi casting dan ditolak banyak kali. Pernah juga lepas top 5 untuk projek Kahar, tapi tidak berjaya ke peringkat akhir.

“Tapi saya tidak mengalah, sebab pernah kerja retail, tapi saya rasa itu bukan jiwa saya. Sebab itu walau ditolak banyak kali, saya tetap kembali,” jelasnya.

Dalam dunia lakonan, Akmal juga tidak menafikan wujudnya perbezaan layanan antara pelakon ekstra dan mereka yang sudah mempunyai nama besar.

Namun, perkara tersebut tidak pernah menjadi halangan buatnya untuk terus fokus terhadap kerja.

“Memang ada beza layanan, tapi itu bukan sesuatu yang mengganggu saya. Saya hanya mahu buat kerja dan balik rumah.

“Saya bukan jenis yang akan ‘jilat’ orang di set. Apa yang saya pertaruhkan hanya bakat,” katanya.

Rezeki nyata berpihak kepadanya apabila ditawarkan untuk membintangi filem Malaikat Malam, sekali gus menjadi naskhah pertama yang memberinya ruang karakter dan dialog yang lebih signifikan.

“Ini kali pertama saya dapat karakter yang ada dialog sebagai ‘Kutu’. Memang satu peluang besar untuk saya.

“Saya pernah bekerjasama dengan pengarah, Bujoq dalam projek sebelum ini. Dia yang cadangkan nama saya kepada penerbit,” katanya.

Momen paling membanggakan buat Akmal pastinya apabila wajahnya terpampang di poster rasmi filem tersebut.

“Bila kali pertama tengok wajah sendiri di poster, memang kecoh satu keluarga,” katanya sambil ketawa.

Dalam membentuk identiti sebagai pelakon, Akmal banyak menjadikan pelakon teater tempatan sebagai inspirasi.

Antara nama yang sering menjadi rujukannya ialah Zahiril Adzim, Amerul Affendi dan Bront Palarae.

“Dengan Amerul, kami pernah buat teater sama. Sembang pun biasa sahaja, saya bukan jenis terus tanya macam-macam.

“Cuma saya tanamkan azam, kalau jumpa mereka lagi satu hari nanti, saya mahu berdiri sama level. Saya hormat apa yang mereka sudah buat, tapi tidak terlalu mengidolakan,” jelasnya.

Akmal tidak mahu terus terperangkap dalam stereotaip wajah garang dan karakter jahat yang sering dikaitkan dengannya.

“Saya teringin bawa watak lelaki lembut yang mencabar, macam Amerul Affendi pernah buat.

“Selain itu teringin hendak berlakon cerita cinta. Selalu dapat watak jahat sebab muka nampak ganas. Saya yakin dua karakter ini akan memberi cabaran buat saya” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN