PETALING JAYA: “Selamat Hari Autisme Sedunia. Mama dan papa sangat-sangat bangga dengan Seth Uwais!”
Demikian ucapan penyanyi, Shila Amzah buat anak sulungnya, Seth Uwais sempena Hari Autisme Sedunia, hari ini.
Menurut Shila, dia berpuas hati dan bersyukur dengan perkembangan yang ditunjukan oleh putera kesayangannya itu yang dilihat semakin positif hari demi hari.
“Kepada semua ibu bapa, anda semua adalah wira sebenar! Ketika saya menulis ini, Seth sedang berada di sekolah.
“Dia semakin berkembang, menunjukkan banyak peningkatan, dan sentiasa mencuba yang terbaik untuk menyesuaikan diri. Saya rasa dia telah melakukan yang sangat hebat,” katanya.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Masih Aku Cinta itu kagum dengan keperibadian anaknya yang dilihat sentiasa ceria meskipun menghidap penyakit autisme.
“Dia tidak pernah malu menjadi seorang autistik, cuma kadang-kadang dia menyangka semua orang juga autistik, dan dia akan bertanya, “Awak autisme tahap berapa?”
“Tolong jangan terasa dengan soalan dia, dia masih dalam proses meneroka,” kongsinya.
Untuk info, Seth Uwais merupakan anak Shila bersama bekas suaminya, Haris Elias sebelum bercerai pada Februari 2022.









