KUANTAN: Pelakon, Fizz Fairuz, meluahkan hasrat untuk menghantar anaknya melanjutkan pelajaran di Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP) sekiranya diberi rezeki.
Menurutnya, kejayaan cemerlang yang dicapai institusi berkenaan dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 menyentuh perasaannya sebagai anak jati Pahang.
“Kalau ada rezeki, memang saya teringin untuk menghantar anak ke sana. Bila melihatkan pencapaian sebahagian besar pelajarnya, saya berasa sebak,” katanya.
Fizz berkata demikian ketika mengulas kejayaan MTTNP yang merekodkan Gred Purata Sekolah (GPS) 0.60, dengan seramai 25 daripada 48 calon memperoleh keputusan semua A.
Tambahnya, pencapaian tersebut amat membanggakan memandangkan MTTNP yang berada di bawah Yayasan Pahang itu baru sahaja membuka pusat peperiksaan sendiri pada tahun lalu.
“Sebagai rakyat Pahang, saya berbangga dengan keputusan semua pelajar yang menduduki SPM tahun lalu.
“Apabila mereka meletakkan al-Quran di dalam dada, bukan sahaja agama diutamakan, malah kecemerlangan akademik turut dicapai,” ujarnya.
Jelas beliau, kejayaan tersebut membuktikan bahawa sesiapa sahaja mampu berjaya sekiranya menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.
Dalam pada itu, Fizz turut menzahirkan harapan agar kecemerlangan berkenaan dapat diteruskan oleh pelajar pada masa akan datang.
MTTNP bukan sahaja memberi penekanan kepada hafazan 30 juzuk al-Quran, malah turut menitikberatkan penglibatan pelajar dalam bidang kokurikulum serta pembangunan modal insan yang seimbang antara aspek duniawi dan ukhrawi.
“Inilah generasi yang akan menjadi penyambung kepimpinan negara. Insya-Allah, jika diberi peluang, saya sendiri mahu menghantar anak ke sana.
“Semoga mereka dapat mengikut jejak langkah pelajar cemerlang hari ini,” katanya.
Untuk rekod, Fizz Fairuz mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Almy Nadia, dan pasangan itu dikurniakan lima orang cahaya mata.









