Suatu ketika dahulu, industri hiburan Hollywood pernah dihiasi wajah-wajah bintang yang berbakat dan berkarisma yang mengangkat ruang layar ke persada global.
Ada antara mereka pernah menjadi ikon, idola remaja, atau simbol kejayaan. Namun kini hanya tinggal kenangan di layar perak. Bukan kerana bakatnya tidak lagi diterima, sebaliknya pilihan peribadi untuk mengubah kehidupan dengan cara tersendiri.
Berikut merupakan lima bintang yang pernah bersinar dalam industri hiburan Hollywood:
Cameron Diaz
Cameron Diaz merupakan salah seorang pelakon wanita Hollywood paling berpengaruh pada akhir 1990-an hingga awal 2010-an. Lakonannya mula mencuri perhatian umum ketika membintangi filem The Mask bersama Jim Carrey pada 1994.
Sepanjang kerjayanya, Cameron pernah menjadi antara pelakon wanita dengan bayaran tertinggi di Hollywood, serta menerima pelbagai pencalonan anugerah berprestij termasuk Golden Globe.
Namun, sekitar 2014, dia mengambil keputusan untuk berehat daripada dunia lakonan sewaktu popularitinya berada di puncak kerana ingin memberi fokus kepada kehidupan peribadi dan mencari keseimbangan selepas bertahun-tahun bekerja tanpa henti.
Kemudian, aktres tersebut mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Benji Madden pada 2015 dan fokus terhadap keluarga tercinta. Cameron juga aktif dalam bidang perniagaan dan merupakan pengasas bersama jenama wain organik, Avaline, yang menekankan gaya hidup sihat serta bahan semula jadi.
Cameron juga merupakan penulis beberapa buku berkaitan kesihatan dan kesejahteraan wanita, termasuk The Body Book dan The Longevity Book, yang mendapat sambutan baik.
Jack Gleeson
Jack Gleeson merupakan pelakon Ireland yang dikenali di seluruh dunia melalui wataknya sebagai Raja Joffrey Baratheon dalam siri popular Game of Thrones.
Namun, Jack membuat keputusan yang mengejutkan apabila memilih untuk meninggalkan dunia lakonan selepas siri tersebut pada 2014. Menurutnya, lakonan tidak lagi memberikan kepuasan, selain melihatnya sebagai hobi berbanding kerjaya jangka panjang.
Kemudian, dia menyambung pengajian di Trinity College Dublin dalam bidang falsafah dan teologi. Jack juga pernah terlibat dalam projek teater kecil serta aktiviti seni bebas di Ireland, tetapi tidak kembali ke arus perdana industri hiburan.
Bridget Fonda
Bridget Fonda merupakan pelakon Hollywood yang terkenal pada era 1990-an, serta berasal daripada keluarga seni yang berpengaruh dalam industri filem Amerika.
Bridget merupakan anak kepada pelakon Peter Fonda dan cucu kepada legenda Hollywood Henry Fonda yang menjadikannya lebih dihormati.
Namun, pelakon filem The Godfather Part III itu memilih untuk mengurangkan membuat kemunculan dalam industri hiburan selepas terlibat dalam sebuah kemalangan kereta yang serius pada tahun 2003.
Kemalangan itu memberi kesan kepada kesihatan dan kehidupannya sekali gus membuatkannya nekad untuk bersara sepenuhnya daripada dunia lakonan sebelum berkahwin dengan komposer terkenal Danny Elfman.
Freddie Prinze Jr.
Pernah dijulang sebagai ikon remaja pada awal era 2000-an, pelakon, Freddie Prinze Jr. mula dikenali melalui filem seperti I Know What You Did Last Summer, sebelum melonjak naik menerusi karya She’s All That.
Namun, pelakon filem Scooby-Doo itu mula mengurangkan kemunculan di layar perak dan memilih untuk bekerja di belakang tabir dengan menceburi bidang penulisan dan produksi di saat popularitinya meningkat naik.
Aktor tersebut juga pernah menjadi penulis skrip untuk rancangan WWE di mana peranan itu tidak diketahui oleh peminatnya. Dalam masa sama, dia juga aktif dalam bidang lakonan suara, termasuk untuk siri animasi Star Wars Rebels bagi watak Kanan Jarrus.
Rick Moranis
Pelakon dan pelawak, Rick Moranis merupakan antara nama besar dalam industri Hollywood sekitar tahun 1980-an dan awal 1990-an menerusi watak-watak komedi yang unik dan menghiburkan dalam filem seperti Ghostbusters, Honey, I Shrunk the Kids, dan Spaceballs.
Bagaimanapun, Rick telah membuat keputusan drastik untuk mengundurkan diri dari dunia lakonan selepas isterinya meninggal dunia akibat penyakit kanser pada tahun 1991.
Bukan itu sahaja, pelakon itu juga memilih untuk memberi sepenuh perhatian kepada keluarga dan membesarkan anak-anaknya sendiri tanpa bergantung kepada penjagaan luar.










