Amira Othman pilih undur diri, mahu tumpu nyanyian dan keluarga - Utusan Malaysia

Amira Othman pilih undur diri, mahu tumpu nyanyian dan keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Amira Othman mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada dunia lakonan demi memberi fokus sepenuhnya terhadap kerjaya nyanyian serta kehidupan keluarga.

Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, 32, berkata, minatnya terhadap bidang lakonan tidak pernah mengatasi kecintaannya terhadap muzik, sekali gus menjadi faktor utama keputusan tersebut dibuat.

Menurutnya, dia bagaimanapun masih terbuka untuk menerima tawaran berlakon dalam skala kecil, khususnya jika melibatkan komitmen bersama jenama tertentu.

“Memang saya sudah tidak aktif berlakon. Mungkin sebab minat saya lebih mendalam dalam bidang nyanyian berbanding lakonan.

“Kalau sekadar komedi ringan mungkin saya boleh pertimbangkan, tetapi watak berat biarlah diberikan kepada pelakon yang lebih layak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan telefilem Poskad Cinta Dari Istanbul terbitan saluran UTV, semalam.

Isteri kepada pelakon, Fattah Amin itu turut menjelaskan penglibatannya dalam telefilem berkenaan adalah bagi memenuhi komitmen sebagai duta jenama Amber, selain dorongan suaminya sendiri.

“Peluang ini juga istimewa kerana dapat berlakon bersama suami. Selain itu, penerbit, Datuk Nana sangat memahami dan fleksibel dalam menyusun jadual penggambaran,” ujarnya.

Dalam pada itu, Amira mengakui pengalaman berlakon sebelum ini banyak memberi pendedahan dan menjadi proses pembelajaran untuk dirinya meneroka cabang seni lain.

Namun, kekangan masa serta tempoh penggambaran yang panjang menjadikan bidang tersebut kurang sesuai untuk diteruskan secara aktif.

“Kita tahu penggambaran drama bersiri mengambil masa yang panjang. Saya sangat hormati pelakon yang mampu bertahan di set.

“Kalau menyanyi, persembahan mungkin hanya sekitar setengah jam, jadi lebih baik saya fokus kepada apa yang benar-benar saya minati,” jelasnya.

Selain Amira dan Fattah, telefilem tersebut turut menampilkan barisan pelakon popular seperti Nora Danish, Bell Ngasri dan Sherry Alhadad.

Poskad Cinta Dari Istanbul akan ditayangkan secara eksklusif di aplikasi UTV pada pukul 9 malam ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN