KUALA LUMPUR : Pelakon, Zara Zya menasihati orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya mempertikaikan perjalanan hidup individu lain yang dilihat berbeza daripada kebiasaan.
Menurutnya, setiap insan mempunyai laluan kehidupan dan rezeki tersendiri yang tidak wajar dijadikan bahan perbandingan apatah lagi dipersoalkan oleh pihak lain.
“Jangan pernah pertikaikan perjalanan hidup seseorang. Dia kerja apa, duduk rumah apa, tak kahwin lagi ke, tak ada anak lagi ke. Jangan pernah persoalkan,” katanya menerusi satu hantaran di platform Threads.
Tambah Zara, persepsi terhadap seseorang pada hari ini tidak semestinya mencerminkan masa depan mereka.
Malah, Zara menegaskan tiada kehidupan yang benar-benar sempurna kerana setiap individu pasti berdepan dengan cabaran masing-masing.
“Mungkin hari ini kita nampak dia macam tak ada masa depan. Tapi kita tak tahu, mungkin masa akan datang dia yang tolong kita.
“Jangan suka merendahkan rezeki orang lain kerana rezeki setiap orang tidak akan pernah sama.
“Tiada kehidupan yang sempurna, setiap daripada kita mempunyai perjuangan yang berbeza,” ujarnya.











