KUALA LUMPUR: Pelakon Wafariena Roslan menafikan dakwaan segelintir pihak yang mendakwa dirinya menjalani pembedahan pada bahagian punggung semata-mata untuk mendapatkan bentuk badan idaman.
Wafariena, 31, berkata perubahan bentuk badannya yang ketara ketika ini adalah hasil usaha dan disiplin melakukan senaman secara konsisten sejak bertahun-tahun lalu.
Menurut pelakon drama 7 Hari Mencintaiku 2 itu, rutin senaman tetap dilakukan walaupun dalam bulan Ramadan bagi memastikan tahap kecergasan sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Tak ada apa-apa pembedahan. Sejujurnya, bulan puasa pun saya tetap bersenam.
“Selepas tarawih saya akan lakukan senaman selama satu hingga dua jam. Untuk muka pula, alhamdulillah tiada pembedahan selain rawatan skin booster bagi penjagaan kulit,” katanya ketika ditemui pada program Melodi Raya di Saloma, di sini, kelmarin.
Dalam pada itu, Wafariena mengakui menggemari bentuk badan personaliti popular antarabangsa, Kim Kardashian yang menjadi antara inspirasinya untuk terus berdisiplin melakukan senaman.
Katanya, ramai rakan dalam industri turut bertanyakan rahsia bentuk pinggulnya yang dianggap menarik.
“Saya rasa kawan-kawan dalam industri pun suka dengan bentuk pinggul saya. Biasanya mereka tanya apa yang saya buat.
“Saya beritahu buat senaman seperti squat yang ada beberapa jenis. Memang saya suka bentuk badan seperti Kim K.
“Namun bukanlah sampai mahu jadi seperti dia sepenuhnya. Saya cuma suka bentuk badan begitu kerana saya tinggi. Kalau terlalu kurus pun nampak kurang menarik, jadi saya suka badan yang ada bentuk,” ujarnya.
Tambah Wafariena, rutin kecergasan yang diamalkan sejak usia 19 tahun bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya bagi meningkatkan keyakinan diri dan menjaga kesihatan.
“Saya juga berkongsi dengan mereka jika ada yang bertanya. Saya beritahu sahaja buat squat, bukan nak kata semuanya semula jadi sampai nampak seperti berlagak.
“Sejak umur 19 tahun saya sudah mula bersenam dan sekarang sudah 31 tahun. Saya bersenam bukan untuk pertandingan atau menunjuk badan.
“Saya lakukan untuk diri sendiri supaya lebih yakin, kekal cergas dan memperbaiki penampilan. Itu hak saya,” katanya.
Terdahulu, perubahan bentuk badan Wafariena menjadi perhatian netizen sehingga mencetuskan dakwaan bahawa pelakon tersebut melakukan pembedahan pada bahagian punggung.










