Di sebalik kemeriahan persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal menjelma dua minggu lagi, TV AlHijrah tampil mengingatkan umat Islam agar tidak terlepas peluang mengejar keberkatan malam Lailatul Qadar.
Sebagai stesen penyiaran Islam negara, TV AlHijrah komited menyediakan pengisian rohani bagi membantu masyarakat menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan dengan ibadah dan ilmu.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, fenomena masyarakat yang mula terpesona dengan lagu raya dan kesibukan di bazar Ramadan sering kali menyebabkan fokus terhadap ibadah terganggu. Beliau menegaskan bahawa detik 10 malam terakhir adalah peluang yang tidak seharusnya dilepaskan memandangkan ganjaran Lailatul Qadar dijanjikan melebihi seribu bulan.
“Masyarakat mula fokus kepada persiapan pulang ke kampung atau hiasan rumah sehingga terlupa tentang detik paling berharga. Menjadi tanggungjawab kami di TV AlHijrah untuk menyediakan medium bimbingan dan menyuntik kesedaran agar mereka dapat menutup Ramadan dengan penuh keberkatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Antara pengisian utama yang disusun termasuklah program khas ‘Nuzul al-Quran’ pada 7 Mac yang membincangkan mukjizat al-Quran dalam kehidupan. Ini diikuti dengan program ‘Malam Seribu Bulan’ bermula 10 Mac yang menampilkan bacaan daripada qari-qari terkemuka tanah air serta perkongsian ilmuwan setiap malam pada jam 11 malam (Isnin hingga Jumaat) dan 10 malam (Sabtu serta Ahad).
Selain itu, TV AlHijrah turut menganjurkan ‘Ramadan Quran Hour’ pada 11 Mac bermula jam 12 tengah hari untuk mengajak masyarakat melakukan tadabbur.
Bagi meraikan saudara baharu, program ‘Khatam Ramadan Mualaf’ pula dijadualkan pada 13 Mac bagi mengetengahkan perjalanan rohani mereka menghayati bulan mulia ini.
Bagi memastikan dakwah sampai kepada semua lapisan masyarakat, TV AlHijrah turut memanfaatkan platform digital seperti TikTok ‘Berita AlHijrah’ untuk siaran langsung solat tarawih dari masjid ke masjid. Penonton juga boleh mengakses kandungan ringkas melalui ‘Langit Dakwah’ atau menonton secara penstriman langsung melalui aplikasi AlHijrah Plus.










